Utusan Online
 
10 Februari 2010 / 25 Safar 1431
  English Version       Arkib Berita     
POLITIK

ARKIB : 30/11/2009
Tee Keat tidak akan tunduk kepada Deklarasi 1128

Tee Keat tidak akan tunduk kepada Deklarasi 1128

KUALA LUMPUR 29 Nov. - Presiden MCA, Datuk Seri Ong Tee Keat dan Ahli Jawatankuasa Pusat (CC) parti itu tidak akan tunduk kepada desakan penyokong Naib Presiden, Datuk Seri Liow Tiong Lai supaya diadakan pemilihan semula parti di peringkat CC dalam tempoh 60 hari.

Menurut Tee Keat, 'Deklarasi 1128' bagi mendesak pemilihan semula itu yang diluluskan pada taklimat khas yang diadakan kumpulan 16 ahli CC semalam adalah bertentangan dengan kehendak majoriti ahli CC MCA,

Beliau yang mempersoalkan tindakan kumpulan berkenaan meluluskan deklarasi itu menegaskan, ia bukan cara demokrasi untuk menguruskan parti.

Justeru katanya, beliau tidak akan tunduk kepada kumpulan Tiong Lai yang dianggap sebagai suara minoriti dalam parti.

"Saya mendapat maklum balas daripada ahli-ahli di peringkat akar umbi secara berperingkat bahawa mereka mahu semua pihak akur kepada amalan dan keputusan yang dibuat oleh kumpulan majoriti dalam CC.

"Takkanlah kumpulan majoriti sanggup tunduk kepada golongan yang hanya segelintir (minoriti). Itu bukan cara kita menguruskan parti atau demokrasi dalam parti," ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui pada majlis jamuan Hari Raya Aidiladha anjuran Kelab Rukun Tetangga Pandan B bersama Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Pandan dekat sini hari ini.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Pandan mengulas tindakan perwakilan dan penyokong Tiong Lai yang sepakat meluluskan deklarasi mendesak diadakan pemilihan semula parti di peringkat CC dalam tempoh 60 hari.

'Deklarasi 1128' yang mengambil nama sempena tarikh semalam itu diluluskan oleh 1,600 perwakilan termasuk ahli parti yang menghadiri taklimat khas menggantikan mesyuarat agung luar biasa (EGM) kedua MCA di Dewan San Choon, Wisma MCA di sini semalam.

Tee Keat mempersoalkan kenapa baru sekarang kumpulan Tiong Lai bersungguh-sungguh mendesak agar diadakan pemilihan baru parti sedangkan cadangan itu pernah ditolak oleh mereka apabila disuarakan oleh beliau sebelum ini.

"Saya merupakan orang pertama yang menyuarakan cadangan agar diadakan pemilihan semula parti iaitu seawal 15 Oktober lalu," katanya.

Menurut Tee Keat, pemilihan semula parti hanya boleh diadakan jika dua pertiga atau lebih ahli CC sanggup meletak jawatan.

Dalam kes MCA katanya, sehingga kini tiada seorangpun ahli CC meletak jawatan termasuk Tiong Lai dan 12 ahli CC lain yang mendakwa sudah menandatangani surat peletakan jawatan semalam.

"Tandatangan surat (letak jawatan) itu cerita lapuk. Dari dulu mereka cakap mahu tandatangan surat tetapi sampai sekarang masih lagi 'irama' yang sama' dimainkan," ujarnya.

Tambahnya, perkara pertama dipertimbangkan jika mahu mengadakan pemilihan ialah sama ada perlu atau tidak jawatan Ketua Pemuda dan Ketua Wanita dipertandingkan.

Seterusnya kata beliau, adakah pemilihan semula itu akan mengikut sistem sedia ada atau yang baru iaitu mirip kepada model digunakan oleh UMNO di mana pemimpin bahagian turut terlibat dalam pengundian.

Dalam pada itu Tee Keat memberitahu, beliau setakat ini belum menemui Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk membincangkan mengenai krisis MCA.

Bagaimanapun katanya, beliau kerap berkomunikasi melalui telefon dengan Muhyiddin untuk membincangkan cara-cara menangani masalah tersebut termasuk ketika beliau berada di London baru-baru ini.

Add to Google  
IKLAN@UTUSAN

IKLAN@UTUSAN
 



IKLAN@UTUSAN