|
KLUANG 29 Nov. - MCA perlu memastikan pemilihan semula peringkat Jawatankuasa Pusat (CC) dalam tempoh 60 hari mampu menyelesaikan semua masalah yang membelenggu parti.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, pemilihan semula itu bakal sia-sia jika segala masalah yang dihadapi tidak dapat diatasi atau timbul pula masalah baru.
"Jika ini jalan penyelesaian yang dicadangkan maka pastikan bahawa ia dapat menyelesaikan segala masalah," katanya.
Beliau mengulas keputusan perwakilan dan ahli MCA yang menyokong Naib Presiden, Datuk Seri Liow Tiong Lai sepakat meluluskan deklarasi mendesak diadakan pemilihan semula parti di peringkat CC dalam masa 60 hari bermula semalam.
Terdahulu Hishammuddin yang juga Menteri Dalam Negeri merasmikan Seminar Motivasi dan Kepimpinan MCA Bahagian Sembrong di sini hari ini.
Menurut beliau, MCA perlu memastikan mereka boleh terus bergerak untuk mengukuhkan Barisan Nasional (BN) selepas pemilihan tersebut.
"Kita sudah tidak ada masa lagi untuk berdepan dengan pilihan raya umum beberapa tahun lagi," katanya.
Katanya, parti-parti komponen BN perlu memahami bahawa UMNO tidak berhasrat untuk mencampuri urusan parti yang bermasalah.
"Ini kerana apa yang berlaku pada satu parti komponen akan dirasai parti yang lain kerana masa depan kita terikat dan segala masalah boleh menjejaskan BN," katanya.
IKLAN@UTUSAN
|