Utusan Online
 
10 Februari 2010 / 25 Safar 1431
  English Version       Arkib Berita     
POLITIK

ARKIB : 30/11/2009
Pas hilang identiti sejak bergabung dengan PKR

Pas hilang identiti sejak bergabung dengan PKR


Tan Sri Zainudin Maidin


KUALA LUMPUR 29 Nov. – Pas telah kehilangan identitinya sejak mengambil keputusan bergabung dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP.

Bekas Menteri Penerangan, Tan Sri Zainudin Maidin (gambar) berkata, sejak bergabung dengan kedua-dua parti pembangkang itu, Pas telah menimbulkan keraguan dan kekeliruan di kalangan para penyokong berhubung arah tujunya.

“Dasar-dasar yang diperjuangkan Pas dilihat semakin ‘cair’ berikutan kerjasama dalam pakatan pembangkang.

“Dalam hal ini, yang banyak ternoda adalah Pas berbanding dengan PKR yang dasarnya memang liberal,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Jelas Zainudin, ia dapat dilihat dengan jelas oleh para pemerhati politik, ahli akademik dan juga rakyat yang berada di luar parti itu.

“Dahulu Pas dikenali sebagai sebuah parti yang memperjuangkan Islam.

“Tetapi, oleh kerana harapan untuk terus berkuasa dan yakin bahawa melalui kerjasama dengan DAP dan PKR akan membesarkan lagi kuasanya, maka Pas telah banyak bertolak ansur terhadap prinsipnya,” ujarnya.

Katanya, sebagai contoh kes pencegahan penjualan arak yang dijuarai oleh Exco Selangor dari parti itu, Datuk Dr. Hassan Ali pada akhirnya memakan diri sendiri.

“Isu itu juga menyebabkan dia (Hassan Ali) dilihat terkeluar dari arus perdana pakatan pembangkang,” katanya.

Selain itu jelasnya, keghairahan Pas sehingga sanggup mengorbankan prinsip asalnya lebih didorong oleh perasaan prejudis pemimpin parti itu sendiri.

“Ia lebih kepada perasaan dendam dan benci Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang mendalam kepada UMNO, bukan atas dasar yang rasional untuk kepentingan masa depan agama, bangsa dan Pas sendiri.

“Adalah mustahil UMNO langsung tidak berubah dari segi dasar dan keyakinan setelah sekian lama memerintah negara sedangkan pemimpin UMNO telah bertukar ganti dan suasana politik juga telah banyak berubah,” katanya.

Tambah Zainudin, yang tidak berubah ialah Nik Abdul Aziz sendiri kerana mendakwa Pas masih parti Islam dan mempertahankan dasar menegakkan negara Islam.

“Pada pandangan orang ramai Pas telah menyeleweng 100 peratus dari dasar dan prinsip utamanya sekarang,” katanya.

Zainudin turut memberitahu bahawa suatu masa dahulu beliau telah dianggap sebagai ‘budak celaka’ oleh Nik Abdul Aziz.

Malah katanya, keratan akhbar lidah rasmi Pas, Harakah berkenaan kenyataan yang dikeluarkan pemimpin itu terhadapnya masih ada dalam simpanannya.

“Sekarang saya lihat bahawa kecelakaan itu menimpa Pas dan parti itu hanya akan selamat jika orang yang membawa celaka tersebut disingkirkan.

“Sampai mati pun saya tidak akan lupa bahawa suatu ketika dahulu Nik Abdul Aziz pernah mengatakan saya budak celaka,” ujarnya.

Add to Google  
IKLAN@UTUSAN

IKLAN@UTUSAN
 



IKLAN@UTUSAN