|
JITRA 29 Nov. - Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sengaja mencetuskan polemik terhadap Datuk Seri Najib Tun Razak bagi mengalih isu yang membebankan beliau ketika ini termasuk cubaan menjatuhkannya.
Ketua Penerangan UMNO, Datuk Ahmad Maslan berkata, Menteri Besar Kelantan itu yang bergelar 'tok guru' tidak sepatutnya berbuat demikian terhadap Perdana Menteri.
"Ini kaedah nak lencong isu memeningkan kepala, cerita menantu, tajaan haji, perpecahan dalam Pas Kelantan dan isu siapa nak ganti beliau sebagai Menteri Besar, tapi janganlah sampai nak doakan yang tak baik," kata beliau.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menerima borang keahlian baru UMNO daripada 200 belia di Kampung Seberang, di sini hari ini.
Ahmad diminta mengulas laporan akhbar hari ini mengenai Nik Abdul Aziz mahu berdoa kepada Allah supaya memusnahkan masa depan Najib dan UMNO jika kerajaan Pusat enggan memberi royalti minyak kepada Kelantan.
Beliau yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri menegaskan, umat Islam tidak boleh berdoa kehancuran sesama Islam.
"Jika Islam membolehkan kita mendoakan hidayah untuk bukan Islam, inikan pula sesama Islam, kita tidak boleh doakan keburukan apatah lagi terhadap pemimpin yang adil.
"Kita beri bantuan kepada rakyat Kelantan menerusi kebijaksanaan kita menyampaikannya, yang penting rakyat dapat faedah," kata beliau.
Mengenai royalti minyak, kata beliau, kerajaan Pusat mengikut peraturan sebagaimana ditetapkan iaitu kawasan tiga batu nautika dari paras air surut sahaja di bawah kerajaan negeri jika mahu dituntut sebarang harta yang ditemui.
"Kawasan minyak ini beratus batu nautika dan kita telah mengadakan perbincangan bersama kerajaan Thailand dan Vietnam, di luar kawasan perairan negeri itu, jadi sudah cukup dengan wang ihsan," kata beliau.
IKLAN@UTUSAN
|