|
![]() |
|
HISHAMMUDDIN Tun Hussein melapah paha lembu pada Majlis Korban Perdana Aidiladha UMNO Sembrong di Kahang, Kluang, semalam. |
KLUANG 29 Nov. - Tindakan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berdoa kepada Allah supaya memusnahkan masa depan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan UMNO adalah tidak masuk akal.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, perbuatan tersebut tidak wajar dan seolah-olah cuba mengalihkan pandangan umum terhadap pelbagai masalah dalaman yang sedang dihadapi parti itu ketika ini.
Beliau berkata, UMNO tidak pernah mendoakan Pas berpecah-belah apatah lagi bertindak melaga-lagakan pemimpin parti itu seperti yang dituduh mereka selama ini.
"Pas kata kita macam-macam termasuk menuduh pemimpin UMNO sebagai Firaun, penjaga babi, rasuah serta mengkafirkan ahli-ahli UMNO.
"Tetapi Tuhan tunjukkan banyak perkara yang mereka lakukan selama ini akhirnya tempias terkena diri mereka sendiri," katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengulas hasrat Nik Abdul Aziz baru-baru ini mahu berdoa kepada Allah agar menurunkan bala kepada Perdana Menteri jika kerajaan Pusat enggan memberikan royalti minyak kepada Kelantan.
Hishammuddin yang juga Naib Presiden UMNO berkata demikian selepas menghadiri Majlis Korban Perdana Aidiladha UMNO Bahagian Sembrong di Kahang, dekat sini, hari ini.
Sehubungan itu beliau yakin Pas akan terus berpecah-belah dari dalam sehingga tidak boleh dibetulkan selagi mereka terus menutup segala kelemahan dengan menyalahkan pihak lain.
"Ini berbeza dengan pendekatan UMNO yang sentiasa muhasabah diri dan mengatasi segala kelemahan tanpa menuding jari kepada orang lain," katanya.
IKLAN@UTUSAN
|