|
KOTA BHARU 29 Nov. - Semua pihak diminta tidak ghairah mengkritik Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang kini berhadapan dengan cubaan pihak tertentu mahu menjatuhkannya.
Bekas Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Tan Sri Annuar Musa berkata, kenyataan Nik Abdul Aziz mengenai 'Kolonel Mat' ada asasnya dan mesti diberi perhatian serius.
Beliau percaya pemimpin Pas tersebut tidak berbohong dan konspirasi besar yang dinyatakan oleh Menteri Besar Kelantan itu memang wujud.
"Adalah lebih baik jika identiti 'perancang' konspirasi tersebut sama ada dari UMNO atau Pas disebut secara jelas oleh Nik Abdul Aziz bagi mengelakkan beliau dituduh membuat kenyataan sembarangan.
"Kenyataan itu adalah sesuatu yang serius. Saya tidak fikir beliau (akan) keluarkan kenyataan kalau tidak ada bukti. Malah beliau sendiri sebut ini barang sahih.
"Daripada suara Menteri Besar sendiri menyatakan ada suatu konspirasi yang besar, saya tak fikir beliau berbohong, jadi elok identiti (Kolonel Mat) dijelaskan supaya orang tidak menuduh beliau membuat tuduhan tanpa asas," katanya.
Beliau menyatakan demikian kepada pemberita selepas Majlis Ramah Mesra Aidiladha Bersama Warga Tani KADA di Dataran Warisan, Kok Lanas hari ini.
IKLAN@UTUSAN
|