|
KOTA BHARU 29 Nov. - Identiti 'Kolonel Mat' akan terus menjadi misteri kerana pencetusnya, Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat enggan mendedahkan walaupun diasak beberapa kali oleh pihak media.
Keengganan itu akan menyebabkan spekulasi terus berlegar dan mungkin mengesahkan teori bahawa ia hanya khayalan serta rekaannya untuk menutup pergolakan yang berlaku dalam Pas Kelantan sehingga menggoyangkan kerajaan yang ditubuhkan sejak hampir 20 tahun lalu.
Ketika ditemui pemberita pada satu majlis perkahwinan di Panchor di sini hari ini, Nik Abdul Aziz yang juga Mursyidul Am Pas hanya berkata: "Cukuplah... cukup-cukup."
Khamis lalu, ketika menyampaikan ucapan pada Majlis Penghayatan Hari Wukuf di Pusat Tarbiyah Islamiah Kelantan (Putik), beliau mendakwa bahawa wujud konspirasi yang dirancang oleh Kolonel Mat untuk menjatuhkannya dan kerajaan Pas Kelantan.
Ketika ditemui pemberita keesokannya untuk mendapatkan penjelasan lanjut, beliau hanya menegaskan bahawa konspirasi dan Kolonel Mat benar-benar wujud.
Ia menimbulkan tanda tanya dan pelbagai tafsiran yang diberikan termasuk daripada pemimpin Pas sendiri.
Bagaimanapun Ahli Parlimen Pasir Mas, Datuk Ibrahim Ali melihat ia hanya khayalan dan rekaan yang dibuat oleh Nik Abdul Aziz untuk menutup kelemahannya serta pelbagai isu yang timbul melibatkan Pas Kelantan termasuk keluarganya sendiri.
Malah, ia dikejutkan lagi apabila, blogger Kickdefella atau nama sebenarnya, Syed Azidi Syed Abdul Aziz mendakwa mengenalinya.
Bagi Syed Azidi, Kolonel Mat yang dikenalinya ialah bapanya sendiri, bekas pegawai tentera yang berpangkat Leftenan Kolonel yang dikenali sebagai Kolonel Mat bagi orang kampung yang tidak akrab dengannya.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tuku, Fatah Harun menyifatkan ia hanya kiasan yang dibuat oleh Nik Abdul Aziz terhadap mereka yang ingin menjatuhkannya.
Katanya, hanya orang yang mendalami ilmu mantik dapat memahami apa yang dikatakan oleh Nik Abdul Aziz itu.
IKLAN@UTUSAN
|