|
PORT OF SPAIN 29 Nov. - Mesyuarat Ketua-Ketua Kerajaan Komanwel (CHOGM 2009) hari ini bersetuju menerima Rwanda, sebuah negara di benua Afrika sebagai ahli baru selepas kajian mendapati republik itu menepati kriteria untuk menganggotai badan bekas jajahan British itu.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata, Rwanda telah melakukan proses pemulihan yang begitu besar selepas hampir musnah disebabkan oleh perang saudara.
"Daripada komitmen terhadap demokrasi dan nilai Komanwel, wajar sekali Rwanda diterima sebagai anggota baru," katanya kepada wartawan Malaysia selepas menghadiri hari kedua CHOGM di sini hari ini.
Rwanda, bukan bekas jajahan British memohon untuk menjadi anggota Komanwel sejak enam tahun lalu, dikatakan mendapat sokongan daripada Australia, Kanada, Afrika Selatan, India, Uganda dan Kenya.
Komanwel adalah kelab negara yang mempunyai penduduk lebih dua bilion dengan nilai dagangan tahunan berjumlah RM9.8 trilion (AS$2.8 trilion).
Mozambique, bekas jajahan Portugis diterima menjadi anggota Komanwel, 14 tahun lalu.
Sementara itu, Najib berkata, CHOGM mahu tindakan serta program yang lebih berkesan untuk memerangi tiga punca kematian terbesar iaitu jantung, diabetis dan barah ditetapkan dalam Matlamat Pembangunan Millenium.
"Tiga penyakit ini begitu besar di negara membangun dan sedang membantu perlu menjadi sebahagian daripada sasaran dunia," jelasnya.
Dalam pada itu, CHOGM hari ini memutuskan mesyuarat ke-61 pada 2011 akan diadakan di Australia manakala Sri Lanka (2013) dan Mauritius (2015). - Utusan
IKLAN@UTUSAN
|