Utusan Online
 
10 Februari 2010 / 25 Safar 1431
  English Version       Arkib Berita     
DALAM NEGERI

ARKIB : 30/11/2009
Wujudkan dana bantu negara kecil

Wujudkan dana bantu negara kecil


Sheikh Hasina mengalu-alukan ketibaan Najib Tun Razak sebelum memulakan mesyuarat dua hala sempena Mesyuarat Ketua-Ketua Kerajaan Komanwel ke-20 (CHOGM) di Port of Spain, semalam. Sidang kemuncak CHOGM yang berlangsung selama tiga hari disertai 53 pemimpin negara bekas jajahan British berakhir, kelmarin. – BERNAMA


PORT OF SPAIN 29 Nov. – Cadangan Malaysia supaya dana perubahan iklim yang akan diwujudkan kelak untuk membantu negara kecil diberikan dalam bentuk geran dan bukannya pinjaman mudah, diterima oleh Mesyuarat Ketua-Ketua Kerajaan Komanwel (CHOGM 2009) hari ini.

Cadangan itu yang dimasukkan dalam kenyataan bersama CHOGM mengenai perubahan iklim yang dikeluarkan hari ini, akan dimajukan pada Sidang Kemuncak Copenhagen anjuran Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu pada 17 dan 18 Disember ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, bantuan kepada negara membangun terutama negara kecil kepulauan yang menerima kesan buruk akibat pemanasan global akan lebih bermakna jika diberikan dalam bentuk geran.

Ini kerana, kata beliau, negara berkenaan tidak mampu menambah lagi jumlah pinjaman dan keupayaan untuk menyelenggara pinjaman pula amat terbatas.

“Kalau kita nak mereka membantu dalam soal perubahan iklim seperti tidak menebang hutan dan menggunakan teknologi mesra alam, maka amat wajar mereka tidak dikenakan beban tambahan. Sebab itulah Malaysia cadangkan supaya diberi dalam bentuk geran,” katanya kepada wartawan Malaysia di sini hari ini.

Semalam, ketua kerajaan 53 buah negara Komanwel itu mengadakan sesi khas mengenai perubahan iklim dengan Perdana Menteri Denmark, Lars Rasmussen; Presiden Perancis, Nicolas Sarkozy dan Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu, Ban Ki-moon.

PBB dan beberapa negara maju kini sedang melobi supaya sidang kemuncak di Copenhagen. Denmark itu mencapai kata sepakat yang bersifat mengikat dari segi undang-undang.

Perdana Menteri Britain, Gordon Brown turut mengumumkan cadangan dana perubahan iklim berjumlah AS$10 bilion setahun dalam tempoh tiga tahun yang bakal diputuskan dalam mesyuarat di Copenhagen kelak.

Selain itu, Najib berkata, permintaan Malaysia supaya hanya syarat paling minimum pinjaman dana tersebut dikenakan turut diterima dalam kenyataan bersama yang dibincangkan pada sesi eksekutif CHOGM pagi ini.

Menurut Perdana Menteri, antara lain kenyataan bersama CHOGM menetapkan bahawa perjanjian yang mengikat dari segi undang-undang perlu dicapai pada sidang kemuncak di Capenhagen atau tidak lewat daripada 2010.

Katanya, CHOGM turut menetapkan sasaran kadar pelepasan karbon terutama oleh negara maju ditambah kepada 1.5 hingga 2 darjah celcius di atas tahap industri bagi mengurangkan suhu global.

CHOGM juga, tambah beliau, memutuskan supaya apa juga persetujuan di Copenhagen kelak mestilah mengambil kira langkah-langkah untuk membantu negara kecil memandangkan negara berkenaan paling terjejas teruk akibat pemanasan global.

“Untuk tujuan ini, CHOGM menerima cadangan dan akan dibawa ke Copenhagen penubuhan Dana Permulaan Segera berjumlah AS10 bilion setahun untuk tiga tahun dengan 10 peratus dana digunakan bagi membantu negara kecil kepulauan,” jelasnya.

Mengenai kehadiran Malaysia pada sidang kemuncak itu, menurut Najib, setakat ini Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Douglas Uggah Embas akan menghadirinya.

Perdana Menteri menambah, CHOGM hari ini turut membincangkan satu kenyataan mengenai peranan golongan muda yang merupakan kesinambungan kepada Program Belia Komanwel yang dilancarkan pada 1974.

Katanya, ketua-ketua kerajaan Komanwel telah mendengar pandangan mereka mengenai pentingnya keperluan golongan muda diambil kira bukan sahaja dalam aspek mewujudkan kementerian belia tetapi dalam setiap dasar dan program kerajaan.

“Mesyuarat juga mengambil kira perlunya dilakukan usaha menyeluruh dan berkesan untuk meningkatkan tahap pendidikan dan latihan vokasional, akses pinjaman dan peluang perniagaan kepada golongan muda,” katanya.

Pada sesi retreat sebelah petang mengenai topik perkongsian untuk masa depan lebih saksama dan mapan, Najib berkata, antara perkara dibincang ialah pentingnya mengambil kira keperluan negara sedang membangun seperti Afrika dan negara-negara Carribean yang berdepan dengan pelbagai masalah lebih buruk kesan daripada krisis ekonomi global.

Katanya, negara-negara berkenaan berdepan dengan penurunan eksport, kekurangan bantuan daripada institusi seperti Bank Dunia dan komoditi tidak dapat dipasarkan terutama ke negara Kesatuan Eropah. – Utusan

Add to Google  
IKLAN@UTUSAN

IKLAN@UTUSAN
 



IKLAN@UTUSAN