|
PORT OF SPAIN (Trinidad dan Tobago) 29 Nov. — Malaysia tetap dengan keputusan mengekalkan pembekuan pengambilan pekerja dari Bangladesh walaupun terdapat permohonan daripada rakan sejawatannya supaya keputusan itu dikaji semula, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.
Perdana Menteri berkata, keputusan pembekuan itu disampaikan kepada rakan sejawatannya Sheikh Hasina Wajed pada satu perbincangan di luar Mesyuarat Ketua-ketua Negara Komanwel (CHOGM) 2009 di sini pada Sabtu.
Bercakap kepada wartawan Malaysia pada akhir hari kedua mesyuarat itu, Najib berkata: “Saya menjelaskan kepada beliau bahawa kami memutuskan untuk mengekalkan pembekuan itu bagi mencegah agen-agen tidak bertanggungjawab daripada mengeksploitasi pekerja-pekerja.”
Beliau berkata, ramai pekerja Bangladesh terpedaya dengan agen-agen berkenaan dan percaya mereka akan mendapat pekerjaan yang memberikan pendapatan lumayan di Malaysia.
Sebilangan daripada mereka, kata Perdana Menteri, menjual apa sahaja harta milik mereka termasuk haiwan ternakan untuk membiayai kos perjalanan mereka ke Malaysia. - Bernama
IKLAN@UTUSAN
|