|
PORT OF SPAIN (Trinidad dan Tobago), 29 Nov. — Para pemimpin Komanwel memberi sokongan jitu kepada pembiayaan permulaan segera bagi membantu negara-negara yang terjejas teruk menangani kesan buruk perubahan iklim.
Mereka mengeluarkan satu deklarasi mengenai perubahan iklim yang memasukkan cadangan Malaysia bahawa bantuan kewangan berkenaan diberikan dalam bentuk geran daripada pinjaman dengan kadar faedah rendah.
"Kebanyakan negara-negara terbabit mungkin mempunyai kadar hutang yang tinggi dan mempunyai keterbatasan untuk membayar pinjaman mereka. Oleh kerana itulah kami mengemukakan cadangan itu,” kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kepada wartawan Malaysia pada akhir hari kedua Mesyuarat Ketua-ketua Kerajaan Komanwel (CHOGM) 2009 di bandar pelabuhan Caribbean di sini.
Mesyuarat itu dirasmikan oleh Ratu England, Ratu Elizabeth II pada Jumaat.
Malaysia turut mengusulkan bahawa syarat-syarat bagi menggunakan dana itu dikenakan pada tahap minimum.
Dalam deklarasi berkenaan, para pemimpin Komanwel menyambut baik inisiatif untuk mewujudkan Dana Pelancaran Copenhagen pada 2010 dan meningkatkan sumber kewangan pada US$10 bilion (RM35 billion) setahun menjelang 2012 sebagai sebahagian daripada perjanjian perubahan iklim yang menyeluruh. - Bernama
|
TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:
|
IKLAN@UTUSAN
|