|
KUALA LUMPUR 28 Nov. - Ketua Wanita MCA, Datin Paduka Chew Mei Fun menyifatkan sikap gila kuasa telah menyebabkan sesetengah pemimpin tertinggi parti itu lupa matlamat dan merosakkan sistem demokrasi parti berkenaan.
Katanya, kekuasaan menyebabkan pemimpin tersebut lupa tujuan sebenar seorang ahli politik adalah untuk berkhidmat kepada orang ramai.
"Pemimpin yang gila kuasa itu menyalahgunakan kuasanya untuk menolak keputusan yang telah diputuskan oleh para perwakilan pusat parti pada mesyuarat agung luar biasa (EGM), 10 Oktober lalu.
"Tindakan ini menunjukkan pemimpin tersebut tidak menghormati keputusan para perwakilan Pusat parti dan menyebabkan kemerosotan parti," tegasnya.
Beliau berkata demikian ketika taklimat secara terbuka untuk para perwakilan parti dan ahli-ahli akar umbi di Dewan San Choon, Wisma MCA di sini hari ini.
Turut hadir Bekas Setiausaha Agung MCA, Datuk Seri Ong Ka Chuan; Naib-naib Presiden, Datuk Seri Liow Tiong Lai; serta Tan Kok Hong; Ketua Pemuda, Datuk Dr. Wee Ka Siong; dan Ahli-ahli Jawatankuasa Pusat (CC), Wong Nai Chee, Datuk Wee Jeck Seng, dan Datuk Liew Yuen Keong,
Taklimat MCA itu menarik perhatian lebih 1,600 ahli parti termasuk di peringkat akar umbi yang bertujuan memberi sokongan kepada kumpulan 16 ahli CC yang menyarankan pemilihan semula diadakan demi kepentingan parti dan masyarakat Cina.
EGM MCA pada 10 Oktober lalu, menerima usul undi tidak percaya terhadap Presiden parti, Datuk Seri Ong Tee Keat, menyokong usul untuk menerima semula Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek sebagai anggota parti dan menolak usul mengembalikan Soi Lek sebagai Timbalan Presiden parti.
Krisis dalaman MCA semakin parah apabila Pendaftar Pertubuhan (ROS) pada 3 November lalu mengumumkan Soi Lek masih Timbalan Presiden yang sah dengan alasan EGM itu tidak memenuhi keperluan dua pertiga majoriti supaya beliau dilucutkan jawatan seperti yang diperuntukkan dalam Perkara 35 Perlembagaan MCA.
Keputusan itu menyebabkan Tiong Lai yang pernah memegang jawatan Timbalan Presiden selama 19 hari berasa tidak puas hati lalu menggesa diadakan EGM kedua MCA pada hari ini.
Mei Fun menambah, kini adalah masanya untuk mengehadkan kekuasaan mutlak di peringkat pemimpin pucuk tertinggi MCA supaya dapat menyuburkan dan mengukuhkan semula amalan demokrasi dalam parti itu.
Beliau berkata, hak pemimpin tertinggi diberikan oleh ahli-ahli parti itu di seluruh negara kerana mereka yakin pemimpin berkenaan akan membuat keputusan wajar untuk mengesyorkan ahli berpotensi menyandang jawatan di dalam parti atau kementerian.
"Hak ini bukan untuk mereka merasuah sesama sendiri atau mendapat sokongan demi kepentingan sendiri.
"Justeru itu, kita perlu menolak kekuasaan mutlak ini untuk mengelakkan pemimpin yang mementingkan diri sendiri," tegasnya.
Dalam pada itu, beliau juga mencadangkan agar kesemua Naib Presiden dilantik dalam Majlis Presiden parti itu secara automatik berbanding sekarang di mana Presiden berhak melantik satu atau dua Naib Presiden ke majlis tersebut.
"Kita perlu memastikan kuasa mutlak itu tidak diselewengkan lagi, maka empat Naib Presiden, Ketua Wanita dan Ketua Pemuda perlu dilantik secara automatik di dalam Majlis Presiden parti,'' katanya.
Jelas beliau, parti harus mengelakkan tindakan 'pancung' atas Ketua Wanita dan Pemuda daripada Majlis Presiden tersebut pada masa depan kerana tindakan itu menunjukkan Presiden parti tidak hormat kepada kumpulan Wanita dan Pemuda MCA.
Sementara itu, Ka Siong juga menyokong saranan Mei Fun dan mencadangkan agar ahli Majlis Presiden berhak melantik ahli parti berpotensi untuk menyandang jawatan dalam kementerian.
"Kita mahu mengehadkan kuasa mutlak Presiden dan memberikan hak itu kepada semua ahli Majlis Presiden parti supaya proses pelantikan ahli berpotensi untuk ke kementerian adalah adil dan bertepatan dengan sistem demokrasi parti," katanya.
IKLAN@UTUSAN
|