|
![]() |
|
LIOW Tiong Lai sambil diperhatikan oleh Dr. Wee Ka Siong dan Chew Mei Fun (empat dari kiri) bersama ahli jawatankuasa MCA memotong riben kain sepanduk Deklarasi 1128 di Wisma MCA, Kuala Lumpur, semalam. |
KUALA LUMPUR 28 Nov. - Perwakilan dan ahli MCA yang menyokong Naib Presiden, Datuk Seri Liow Tiong Lai sepakat meluluskan deklarasi bagi mendesak diadakan pemilihan semula parti di peringkat Jawatankuasa Pusat (CC) dalam tempoh 60 hari mulai sekarang.
'Deklarasi 1128' yang mengambil nama sempena tarikh hari ini itu diluluskan sebulat suara oleh 1,600 perwakilan termasuk ahli parti yang menghadiri taklimat khas yang dianjurkan oleh kumpulan Tiong Lai di Dewan San Choon, Wisma MCA di sini hari ini.
Taklimat khas itu diadakan bagi menggantikan mesyuarat agung luar biasa (EGM) kedua MCA yang dibatalkan.
Tiong Lai pada sidang akhbar selepas sesi taklimat itu berkata, pemilihan tersebut bagaimanapun tidak membabitkan pertandingan bagi jawatan Ketua Pemuda dan Ketua Wanita.
Beliau menjelaskan, dua jawatan tersebut tidak perlu dipertandingkan kerana Ketua Pemuda, Datuk Dr. Wee Ka Siong dan Ketua Wanita, Datin Paduka Chew Mei Fun tidak menimbulkan masalah kepada parti.
"Kedua-dua pemimpin iaitu Ketua Pemuda dan Ketua Wanita tidak mempunyai kaitan dengan pemilihan parti kali ini kerana mereka mendapat restu daripada perwakilan.
"Yang menjadi masalah adalah CC MCA yang gagal berfungsi selepas EGM pada 10 Oktober lalu," katanya.
Menurut Tiong Lai, seramai 13 ahli CC MCA yang dilantik termasuk beliau sudah menandatangani surat peletakan jawatan bagi membolehkan pemilihan semula parti diadakan.
"Di sini, saya mahu mengumumkan bahawa kesemua 13 ahli CC yang dilantik sudahpun menandatangani surat peletakan jawatan tetapi ia belum berkuat kuasa kerana surat yang ditandatangani ini tidak diletakkan tarikh lagi," jelasnya.
Katanya, memandangkan pemilihan semula parti hanya dibenarkan jika dua pertiga daripada 30 ahli CC MCA meletak jawatan, maka beliau merayu ahli CC lain mengikut jejak langkah mereka meletak jawatan bagi memenuhi syarat tersebut.
"Kita harap hasrat perwakilan dan ahli parti mahu melihat pemilihan pucuk pimpinan baru di peringkat Pusat diadakan dalam tempoh terdekat ini akan tercapai demi memulihkan demokrasi, maruah dan integriti MCA," katanya.
Tiong Lai berkata, pihaknya sudah merangka pelan perjalanan bagi memastikan pemilihan semula parti dapat diadakan dalam tempoh 60 hari.
Katanya, pelan itu akan dibincangkan lebih lanjut dalam mesyuarat CC MCA akan datang.
Dalam pada itu, Tiong Lai berkata, Deklarasi 1128 juga bersetuju dengan pindaan Artikel 46, Perlembagaan MCA yang memberi kuasa kepada Presiden melantik Ahli Jawatankuasa bagi Majlis Presiden.
"Artikel 46 menyatakan bahawa Presiden boleh melantik seorang atau lebih Naib Presiden MCA dalam Jawatankuasa Majlis Presiden.
"Sudah tiba masanya, kuasa ini tidak disalahgunakan. Lebih baik kita tetapkan terus dalam Artikel 46 bahawa Presiden perlu melantik kesemua Naib Presiden dan sesiapa sahaja yang memegang jawatan Timbalan Menteri sebagai Ahli Jawatankuasa Majlis Presiden," katanya.
Tiong Lai juga berharap Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) MCA pada 4 dan 5 Disember ini dapat ditunda ke tarikh lain bagi membolehkan perwakilan menumpukan perhatian kepada pemilihan semula parti.
IKLAN@UTUSAN
|