Utusan Online
 
10 Februari 2010 / 25 Safar 1431
  English Version       Arkib Berita     
BERITA UTAMA

ARKIB : 29/11/2009
Kawasan jenayah ragut akan diisytihar panas

Kawasan jenayah ragut akan diisytihar panas

KUALA TERENGGANU 28 Nov. - Kementerian Dalam Negeri tidak akan teragak-agak mengisytiharkan sesuatu kawasan yang mengalami kadar jenayah ragut tinggi di negara ini sebagai kawasan panas.

Menterinya, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, ini bagi membolehkan usaha memerangi kegiatan tersebut dapat dilakukan secara lebih terancang dan tersusun.

Jelasnya, kementerian itu kini memberi tumpuan kepada 50 kawasan panas di empat buah negeri iaitu Wilayah Persekutuan, Johor, Pulau Pinang dan Selangor ekoran kadar jenayah tinggi di kawasan terbabit.

Bagaimanapun katanya, berdasarkan perkembangan terkini, beberapa kejadian ragut yang dilaporkan sejak beberapa hari lalu berlaku di luar kawasan panas.

''Justeru, jika kawasan yang berlaku kegiatan jenayah itu (ragut) tinggi, kita akan mengisytiharkan ia sebagai kawasan panas," katanya selepas merasmikan Majlis Korban Peringkat Parlimen Kuala Nerus di Masjid Kampung Tok Jembal di sini hari ini.

Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri, Datuk Abdul Rahin Mohd. Said; Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Mohd Nasir Ibrahim Fikri dan lebih 2,000 rakyat.

Pada majlis itu, sebanyak enam ekor lembu korban disembelih dan dagingnya diagih-agihkan kepada penduduk setempat.

Hishammuddin berkata demikian bagi mengulas peningkatan jenayah ragut yang berlaku di seluruh negara sejak kebelakangan ini termasuk kes melibatkan kematian warga emas, Fatimah Salleh, 66, kelmarin dan kecederaan pelajar, Nadirah Saerah Mohd. Zin semalam yang kedua-duanya berlaku di Kedah.

Beliau yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri memberitahu, dengan mengisytihar sesuatu kawasan sebagai panas, tumpuan pengawasan akan dilakukan di kawasan itu.

Katanya, kementerian akan meningkatkan kehadiran polis termasuk balai bergerak dan rondaan bagi memantau dan mengawasi kegiatan jenayah.

''Tindakan ini dilihat berjaya dengan 50 kawasan panas yang diberikan tumpuan menunjukkan kadar jenayah menurun atau stabil," katanya.

Beliau memberitahu, pelbagai usaha kini diambil oleh kementerian selepas meletakkan sasaran kadar penurunan jenayah sehingga 20 peratus pada tahun depan khasnya yang melibatkan kegiatan jenayah jalanan.

Add to Google  
IKLAN@UTUSAN

IKLAN@UTUSAN
 



IKLAN@UTUSAN