Utusan Online
 
10 Februari 2010 / 25 Safar 1431
  English Version       Arkib Berita     
BERITA UTAMA

ARKIB : 29/11/2009
Malaysia nyatakan pendirian tegas

Malaysia nyatakan pendirian tegas


RATU England, Ratu Elizabeth II tiba bagi merasmikan Mesyuarat Ketua-Ketua Kerajaan Komanwel (CHOGM 2009) di Port of Spain, semalam. Mesyuarat selama tiga hari bermula Jumaat itu dihadiri delegasi dari 53 buah negara anggota Komanwel seluruh dunia. – BERNAMA


PORT OF SPAIN 28 Nov. – Mesyuarat Ketua-Ketua Kerajaan Komanwel (CHOGM 2009) yang bermula hari ini sepakat supaya Sidang Kemuncak Copenhagen Mengenai Perubahan Iklim, Disember ini, dapat mencapai persetujuan yang mengikat dari segi undang-undang terutama kepada negara maju terhadap komitmen mereka berhubung isu pemanasan global.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, CHOGM tidak mahu komitmen untuk mengurangkan pemanasan global sekali lagi hanya merupakan persetujuan politik, sedangkan kesan paling buruk daripada perubahan iklim ialah kepada negara membangun dan negara kepulauan kecil.

Menurutnya, mesyuarat turut menekankan supaya sebahagian dana perubahan iklim berjumlah AS$10 bilion (RM35 bilion) setahun untuk tempoh tiga tahun yang dicadangkan oleh Perdana Menteri Britain, Gordon Brown diberikan kepada negara membangun dan negara kepulauan kecil.

Komitmen tegas CHOGM itu dinyatakan semasa sesi khas mengenai perubahan iklim yang turut melibatkan Perdana Menteri Denmark, Lars Rasmussen; Presiden Perancis, Nicolas Sarkozy dan Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu, Ban Ki-moon.

Perdana Menteri berkata, Malaysia bersama ketua-ketua kerajaan Komanwel merasakan inilah masa yang sangat kritikal untuk badan 53 buah negara itu menunjukkan komitmen pentingnya Persidangan Copenhagen pada 7 hingga 18 Disember ini menjadi mesyuarat yang berjaya.

“Untuk jamin kejayaan Persidangan Copenhegen ini, CHOGM bersetuju membuat kenyataan agar persidangan itu nanti seberapa boleh perlu mencapai persetujuan yang mengikat dari segi undang-undang.

“Ini kerana kalau persidangan hanya mencapai persetujuan politik sahaja, amat sukar untuk menentukan komitmen sebenar yang dapat dilaksanakan oleh terutamanya negara maju,” katanya kepada wartawan Malaysia di sini hari ini.

Najib yang turut terlibat dalam perbahasan dalam sesi khas itu berkata, Malaysia telah menekankan pentingnya CHOGM membuat persetujuan bersama untuk mendorong Persidangan Copenhagen anjuran PBB itu mencapai persetujuan berbentuk undang-undang yang mengikat.

“Saya juga telah nyatakan jangan hendaknya ada negara cuba mengetepikan persetujuan di bawah Protokol Kyoto. Kalau cuba buat bererti banyak prinsip asas yang dipersetujui akan menjadi bertindan serta tidak diterima pakai lagi dan kita akan masuk dalam proses rundingan yang tidak ada kesudahannya,” jelasnya.

Perdana Menteri menambah, Malaysia juga menyatakan agar dana yang diwujudkan nanti tidak disertai dengan terlalu banyak syarat yang tidak diketahui lebih awal kerana ia akan membantutkan usaha negara membangun dan negara kepulauan kecil.

“Walhal itulah tujuan sebenarnya dana tersebut diwujudkan,” katanya yang merujuk beberapa buah negara kepulauan kecil seperti Maldives dan Tuvalu yang menghadapi ancaman tenggelam dalam beberapa dekad lagi akibat pemanasan global.

Najib mengakui terdapat perbezaan pendapat negara-negara maju dalam Komanwel mengenai komitmen yang diikat oleh undang-undang tetapi akhirnya mereka mencapai konsensus.

“Sama ada ini dicapai atau tidak, akan bergantung kepada perkembangan di Copenhagen tetapi penting bagi CHOGM mengeluarkan satu kenyataan yang sangat komited lagi tegas,” tambahnya.

Perdana Menteri berkata, sesi khas itu turut mendengar cadangan daripada Sarkozy agar ditubuhkan Pertubuhan Alam Sekitar Dunia berikutan kelemahan Protokol Kyoto kerana tiadanya satu badan kawal selia untuk memastikan perjanjian di bawah protokol itu yang ditandatangani oleh 184 buah negara, dilaksanakan.

Ditanya mengenai isu perubahan iklim telah mengalih agenda CHOGM kali ini, beliau menjelaskan, isu itu sebenarnya telah lama menjadi topik utama kerana pemanasan global banyak menjejaskan negara Komanwel.

Katanya, dalam ucapan semasa sesi itu beberapa negara kepulauan kecil menyatakan pemanasan global bukan lagi masalah kepada mereka tetapi isu hidup atau mati.

Esok, Najib dijadual mengadakan pertemuan dua hala dengan Perdana Menteri Bangladesh, Sheikh Hasina. – MINGGUAN

Add to Google  
IKLAN@UTUSAN

IKLAN@UTUSAN
 



IKLAN@UTUSAN