|
![]() |
|
Wahadir Hamdani (kiri) salah seorang daripada mangsa bot karam, semalam menunjukkan kesan luka di seluruh badannya ketika bergelut menyelamatkan diri apabila bot yang mereka naiki karam, manakala Yahya Asman (gambar kanan) yang terselamat menceritakan bagaimana tragedi bot karam itu berlaku berhampiran Karakit Pulau Banggi, utara Sabah, kelmarin. – BERNAMA |
KOTA KINABALU 28 Nov. – Pasukan mencari dan menyelamat hari ini menemui tiga lagi mayat penumpang bot nelayan yang karam di perairan Pulau Banggi, utara Sabah, petang kelmarin lalu.
Jumlah itu menjadikan angka korban tragedi bot karam tersebut setakat ini meningkat kepada enam orang kesemuanya.
Bagaimanapun harapan untuk menjumpai baki mangsa yang masih hilang pudar apabila pasukan itu tidak menemui tanda-tanda baru, sepanjang operasi mencari di perairan bergelora itu hari ini.
Tiga mayat itu masing-masing dua lelaki, dipercayai anak beranak dan seorang wanita dijumpai oleh pasukan mencari dan menyelamat sekitar pukul 1 hingga 3 petang hari ini.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kudat, Deputi Supritendan Dawi Ossen berkata, jumlah mangsa yang masih hilang bertambah kepada 12 orang berbanding hanya empat sahaja semalam.
Beliau berkata, berdasarkan laporan terbaru dari keluarga mangsa yang diterima sejak semalam menunjukkan terdapat 28 penumpang dalam bot berkenaan.
Katanya, operasi mencari mangsa yang masih hilang kini bertumpu di perairan dekat Pulau Banggi dan sebuah pulau kecil iaitu Pulau Muli Angin, kira-kira 20 batu nautika dari Kudat.
“Pasukan mencari sudah mengenal pasti lokasi bot karam iaitu berhampiran Pulau Muli Angin, kira-kira dua batu nautika dari Pulau Banggi,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Dawi menambah operasi mencari disertai Pasukan Gerakan Marin (PGM), Unit Udara Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Tentera Darat.
Katanya, polis juga sudah mengambil keterangan daripada juragan dan awak-awak bot berukuran 15.6 meter panjang dan enam meter lebar itu.
Dalam kejadian kelmarin, bot membawa penumpang dari jeti Kudat ke Pulau Banggi itu karam kira-kira pukul 5.30 petang selepas dipukul ombak setinggi dua meter.
Selain membawa 28 penumpang, bot berkenaan turut membawa 80 karung simen seberat 50 kilogram sekampit, 20 tin cat dan tong air seberat 200 liter.
Kebanyakan penumpang iaitu seramai 21 orang merupakan anggota keluarga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri Banggi, Yahya Osman, 61, dari Papar yang pulang ke Pulau Banggi untuk menyambut Hari Raya Aidiladha.
Sementara itu, Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Abdul Rahim Bakri berkata, beliau akan meminta laporan daripada semua agensi terlibat mengenai kejadian tersebut bagi mencari jalan memperbaiki perkhidmatan feri antara Pulau Banggi dan Kudat.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Kudat menambah, pengangkutan feri amat penting terutamanya bagi penduduk pulau itu untuk berulang-alik ke pekan Kudat.
“Kita perlu pastikan perkhidmatan dan penyelenggaraan feri mencukupi dan berterusan kerana ia merupakan medium pengangkutan utama penduduk dan akan kekal untuk tempoh yang lama di masa hadapan,” katanya.
|
TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:
|
IKLAN@UTUSAN
|