VERSI : Mobile | Akhbar Digital
1 Ogos 2014 / 5 Syawal 1435  
  Carian Arkib
FEMININ

ARKIB : 29/11/2009

Tudung Siti di Vietnam


Pasar Ben Than yang menjadi lokasi membeli-belah paling diminati.


LARI seketika daripada tekanan kerja dan bawa diri ke tempat menarik di negara orang sangat mengujakan. Sambil melihat panorama dan mengenali budaya serta adat yang berbeza, pelbagai perkara boleh dilakukan termasuk terapi diri paling mudah - membeli-belah.

Kaum wanita pasti setuju membeli-belah adalah terapi diri paling diminati. Syarat-syaratnya; pertama pilihan yang banyak, kedua waktu yang senggang dan ketiga serta paling penting, 'poket' mesti penuh.

Jika tidak pun, cukup sekadar menjamu mata atau 'window shopping' sudah memadai untuk menghiburkan hati dan lupa sebentar kepada tekanan kerja terutama buat warga kota.

Bercakap mengenai destinasi membeli-belah, Jakarta, Bandung dan Padang di Indonesia serta Bangkok di Thailand antara yang digemari rakyat negara ini.

Selain harga barangan yang rendah dan pilihan yang banyak, tawaran tambang murah syarikat penerbangan membolehkan sesiapa saja mampu mengunjungi destinasi tersebut bila-bila masa.

Tidak ketinggalan kini ibu negara Vietnam, Bandar Ho Chi Minh semakin mendapat perhatian mereka yang gemar berbelanja.

Menariknya mengenai bandar yang dulunya dikenali sebagai Saigon ini adalah ia menawarkan hampir segala-galanya pada harga berpatutan dan berkualiti. Kebanyakannya adalah buatan dalam negara terutama yang membabitkan seni halus seperti lukisan, sulaman pakaian, hiasan rumah dan sebagainya. Barangan dari luar seperti China dan Korea juga masih boleh didapati pada harga yang masih berpatutan.

Begitu juga dengan produk makanan seperti biji gajus yang berkualiti, juga jangan dilupakan kopi Vietnam yang sangat beraroma. Apatah lagi negara ini merupakan pengeksport kedua terbesar kopi dunia selepas Brazil, menikmati secawan kopi di sini adalah aktiviti yang tidak harus dipinggirkan.

Sibuk

Bandar Ho Chi Minh sentiasa sibuk dengan kenderaan bertali arus. Seawal pukul 7 pagi, jalan-jalan yang bersimpang siur dan sempit di bandar ini sudah sesak.

Rata-rata pengguna jalan raya adalah mereka yang bermotosikal. Kenderaan empat roda pula biasanya teksi (yang jauh lebih cantik daripada negara kita) dan juga kereta persendirian.

Saling membunyikan hon dan nampak seakan tidak mematuhi peraturan jalan raya, namun pemandu di sini menghormati antara satu sama lain. Buktinya, jarang sekali berlaku kemalangan dan jika ada sekali pun hanya melibatkan kecederaan kecil. Ini disebabkan cara mereka yang tidak laju dan memandu dengan sabar. Pejalan kaki juga dihormati dan diberi keutamaan.

Menurut seorang rakan yang lama menetap di kota ini, rakyat Vietnam sangat rajin berkerja dan tidak malu untuk belajar. Mereka tidak suka mengemis dan sukar untuk menemui pengemis di sini walau pun hakikatnya ada yang masih hidup melarat.

Kedai-kedai tumbuh bak cendawan selepas hujan. Begitu juga dengan warung kaki lima (sesetengahnya hanya sekadar mempunyai bangku kecil untuk pelanggan menikmati hidangan) boleh ditemui di mana-mana. Butik-butik berjenama juga mewarnai bandar yang didiami oleh tujuh juta penduduk ini.

Pasar Ben Than antara lokasi membeli-belah paling diminati pelancong dari luar termasuk Malaysia. Pelbagai jenis barangan boleh didapati di sini daripada perhiasan rumah, pakaian, cenderamata, lukisan dan juga makanan.

Antara yang menjadi perhatian adalah pelbagai jenis kain termasuk kapas (buatan Korea), chiffon, viscose, sutera Vietnam dan banyak lagi. Harganya berpatutan dan pilihannya banyak.

Selain itu, anda juga boleh menempah kemeja, seluar atau suit juga dengan harga berpatutan dan boleh disiapkan dalam masa paling maksimum tiga hari.

Jika mahukan pakaian yang lebih spesifik untuk orang Malaysia, deretan butik di Jalan Ly Tu Trong atau Jalan Nam Khay Khoi Ngia menjanjikan pelbagai pilihan yang pastinya mencuit hati kita.

Jangan terperanjat andai anda disapa, "beli tudung Siti, tudung Ekin," oleh jurujual yang tidak fasih berbahasa Melayu di sini.

Disebabkan begitu banyak pengunjung dari Malaysia yang bertandang ke sini, mereka boleh bertutur beberapa perkataan mudah demi untuk menarik perhatian pembeli.

Pemilik butik juga sentiasa mengikuti perkembangan semasa fesyen di Malaysia dengan meneliti majalah-majalah kewanitaan dari negara kita dan cuba menghasilkan seperti apa yang ada dalam majalah tersebut.

Selain tudung Siti dan Ekin, terdapat pilihan baju kurung, kurung moden, kurung Pahang, kurung Riau, jubah moden, telekung dan banyak lagi dengan sulaman manik indah sarat pada baju dijual pada harga yang pastinya membuatkan sesiapa jua ingin membelinya.

Menurut salah seorang jurujual di sini, pakaian muslimah di sini banyak ditempah oleh butik-butik terkenal di Malaysia, Singapura, Brunei, Australia dan juga Kanada.

Urus niaga

Kebiasaannya urusan jual beli menggunakan mata wang dong atau dolar Amerika, namun terdapat sesetengah kedai yang menerima ringgit. Bagaimanapun, dinasihatkan agar menukar wang secukupnya bagi memudahkan urusan kerana pada pengamatan penulis, orang Vietnam agak kasar dalam urusan jual beli.

Tidak seperti jiran mereka, orang Kemboja yang lebih lemah lembut, mereka mudah menunjukkan wajah 'mencuka' andai kita minta dikurangkan harga!

Barangan lain seperti pakaian bayi, pakaian berjenama (juga ada yang tiruan tetapi masih berkualiti sederhana) dan beg (pelbagai jenis) pula boleh didapati dengan banyaknya di Saigon Square.

Tentu rambang mata bagi mereka yang mempunyai anak kecil kerana kebanyakan pakaian yang dijual sangat comel dan menarik, malah terdapat juga yang berjenama dengan harga berpatutan.

Namun, keadaannya yang kompleks ini yang sesak dengan lorong-lorong yang sempit menyukarkan urusan jual beli. Dan awas! Adakalanya kerana tidak berhati-hati ketika membeli sesuatu barangan, kita mungkin membayar harga berganda daripada sepatutnya.

Selain tiga lokasi tadi, Bandar Ho Chi Minh juga memiliki kompleks membeli-belah mewah yang tidak kurang hebatnya jika dibandingkan dengan Kuala Lumpur.

Butik Louis Vuitton, Tods, Salvatore Ferragamo dan banyak lagi berdiri megah tidak jauh daripada Hotel Sheraton Saigon yang menjadi tumpuan pelancong elit. Kompleks membeli-belah Diamonds dan Parkson juga menawarkan pilihan yang pelbagai, dari jenama sederhana hingga mewah.

Usai sesi menjamu mata dan 'mencuci poket', pastinya perut mula berkeroncong minta diisi. Bagi pelancong beragama Islam, sebenarnya tidak terlalu sukar untuk mencari makanan halal di bandar ini.

Terdapat lebih 10 restoran makanan halal antara Halal@Saigon, Bon Mua Four Season, Satay House dan banyak lagi. Walaupun harganya sedikit mahal, namun berbaloi kerana hidangannya yang enak dan paling penting, kebersihannya terjamin.

Mungkin ada yang bertanya, cukupkah tarikan membeli-belah untuk membawa pelancong ke sini? Jawapannya, Bandar Ho Chi Minh bukan hanya sekadar itu.

Mahukan lebih lagi, jangan lupa mengunjungi terowong Cu Chi (lebih kurang 70 kilometer dari bandar ini) untuk melihat kebijaksanaan orang Vietnam - yang semestinya dipraktikkan hingga kini.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zohor 1:22
Asar 4:43
Maghrib 7:30
Isyak 8:42

 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
PRK Bukit Gelugor
Utusan Live di PRK Parlimen Bukit Gelugor
PRK Teluk Intan
Utusan Live di PRK Parlimen Teluk Intan
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014


IKLAN@UTUSAN

IKLAN@UTUSAN

MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.