Utusan Online
 
10 Februari 2010 / 25 Safar 1431
  English Version       Arkib Berita     
POLITIK

ARKIB : 28/11/2009
Gembira EGM kedua dibatalkan

Gembira EGM kedua dibatalkan

KUALA LUMPUR 27 Nov. - Naib Presiden MCA, Datuk Seri Kong Cho Ha berkata, beliau gembira kerana mesyuarat agung luar biasa (EGM) kedua yang dirancang diadakan esok dibatalkan sebaliknya diganti dengan taklimat khas bersama perwakilan.

Katanya, keputusan itu dapat membantu keadaan parti itu yang semakin dilanda kemelut kepimpinan apabila ada kumpulan yang bertegas mahu mengadakan EGM kedua itu kerana tidak berpuas hati dengan keputusan pada EGM yang diadakan sebelum ini.

"Dari mula EGM yang dirancang diadakan esok itu pun sudah menimbulkan persoalan sama ada ia sah atau tidak dari segi perlembagaan parti. Saya gembira kerana ia dibatalkan.

"Selepas ini, apa yang perlu ditumpukan adalah bagaimana cara untuk dibuat pemilihan parti yang baru. Ia perlulah mengikut perlembagaan parti.

"Apakah seksyen-seksyen berkaitan pemilihan di dalam perlembagaan parti, itu semua perlu dipatuhi," katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Pameran Hartanah Star 2009 di sini hari ini.

Cho Ha diminta mengulas pembatalan EGM yang dicadangkan diadakan esok oleh sekumpulan pemimpin parti itu sebaliknya akan digantikan dengan sesi taklimat khas bersama perwakilan.

Naib Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai yang mengumumkan keputusan itu semalam berkata, ia dibuat setelah mengambil kira pandangan dan nasihat Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak dan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Ditanya sama ada beliau mengetahui bila pemilihan parti yang baru itu boleh diadakan, Cho Ha berkata, ia sukar dijangka.

Cho Ha yang juga ditanya mengenai sama ada pemilihan baru parti itu nanti akan melibatkan semua ahli MCA atau sebaliknya, berkata:

"Itu adalah satu perkara yang dibincangkan semua pihak. Jadi kita belum tahu lagi," katanya.

Mengenai taklimat khas esok, Cho Ha berkata, semua perwakilan mempunyai kebebasan untuk membuat keputusan sama ada mahu menyertainya atau tidak.

Add to Google  
IKLAN@UTUSAN

IKLAN@UTUSAN
 



IKLAN@UTUSAN