|
KUALA LUMPUR 27 Nov. - Dua pertiga daripada keseluruhan Ahli Jawatankuasa Pusat (CC) MCA perlu meletak jawatan bagi membolehkan pemilihan parti yang baru diadakan.
Timbalan Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek berkata, perkara itu terkandung di dalam perlembagaan parti.
"Bagi mengadakan pemilihan baru parti, ia memerlukan kerjasama semua ahli jawatankuasa itu," katanya di dalam blognya http://drchua9.blogspot.com.
Soi Lek mengulas pembatalan mesyuarat agung luar biasa (EGM) kedua yang dirancang diadakan beberapa pemimpin parti itu esok.
Naib Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai yang mengumumkan perkara itu semalam berkata, keputusan itu dibuat setelah mengambil kira pandangan dan nasihat Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak dan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Menurut Tiong Lai, pembatalan EGM itu juga dibuat selepas beliau mencapai persetujuan dengan Presiden MCA, Datuk Seri Ong Tee Keat dan Soi Lek sendiri untuk mengadakan pemilihan baru parti.
Soi Lek berkata, berikutan pengumuman Tiong Lai dan kumpulannya itu, beliau berharap semua pemimpin MCA dan ahli CC jujur dan berpegang kepada semangat saling menghormati bagi membincangkan mengenai pemilihan parti yang baru nanti.
"Saya berharap semua pemimpin MCA juga boleh duduk bersama secara aman dan membincangkan mengenai perkembangan terbaru itu supaya kita dapat bekerjasama demi perpaduan MCA.
"Saya juga mengalu-alukan keputusan Tiong Lai dan kumpulannya untuk membatalkan EGM kedua itu.
"Saya rasa ini satu permulaan yang baik untuk menyelesaikan konflik di dalam parti," katanya.
IKLAN@UTUSAN
|