Utusan Online
 
10 Februari 2010 / 25 Safar 1431
  English Version       Arkib Berita     
POLITIK

ARKIB : 28/11/2009
Belum tiba masanya - Ahmad

Belum tiba masanya - Ahmad

KOTA BHARU 27 Nov. - Timbalan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob berkata, soal siapa yang seharusnya menggantikan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sebagai Menteri Besar tidak sewajarnya timbul kerana beliau masih mampu melaksanakan tugasnya dengan baik.

Menurutnya, perkara itu tidak perlu dibangkitkan kerana apabila tiba masanya, pengganti Mursyidul Am Pas itu akan diketahui.

''Siapa penggantinya, sampai masa akan tiba. Pilihan raya pun tak lama mana lagi. Tok guru (Nik Abdul Aziz) pun masih boleh bekerja lagi. Pentadbiran bawah tok guru okey, tidak ada masalah sekarang ini.

"Jadi saya berpendapat keperluan untuk ganti belum sampai lagi. Lainlah jika keadaan terdesak. Buat masa sekarang tok guru masih boleh mentadbir dengan baik," katanya di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas mengenai cadangan Timbalan Pesuruhjaya II dan III Pas Kelantan, Datuk Husam Musa dan Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah bahawa Ahmad yang paling layak menggantikan Nik Abdul Aziz.

Isu tersebut timbul apabila Mohd. Amar menyarankan Nik Abdul Aziz menamakan penggantinya lebih awal supaya tidak timbul kekalutan apabila tiba masanya beliau melepaskan jawatan.

Beliau berkata, proses peralihan yang lebih panjang secara terancang dapat memastikan kestabilan dalam parti.

Ahmad menegaskan proses pemilihan calon pengganti bukan hanya boleh dilakukan oleh seorang dua pemimpin tetapi perlu melalui beberapa prosedur yang ditetapkan parti.

"Setakat ini kita ada forum. Kita ada Badan Perhubungan, kita ada majlis wakil-wakil rakyat dan kita ada dewan harian. Sehingga ke hari ini kita tidak pernah bincang perkara ini walaupun dalam mesyuarat dewan harian.

"Cuma tiba-tiba keluar di dalam akhbar. Pandangan peribadi itu tidak ada hal tetapi dalam parti, dalam kerajaan dan pentadbiran tidak isu ini tidak berbangkit.

"Sehingga ke hari ini kita boleh teruskan kepimpinan tok guru dan tok guru pun tak ada masalah bagi saya. Saya akan terus membantu tok guru," katanya.

Tambahnya, wartawan tidak perlu mencari siapa bakal pengganti Nik Abdul Aziz kerana ia akan hadir dengan sendiri mengikut pepatah 'patah tumbuh hilang berganti'.

Add to Google  
IKLAN@UTUSAN

IKLAN@UTUSAN
 



IKLAN@UTUSAN