Utusan Online
 
10 Februari 2010 / 25 Safar 1431
  English Version       Arkib Berita     
BERITA UTAMA

ARKIB : 28/11/2009
Aidiladha disambut dengan penuh kesyukuran

Aidiladha disambut dengan penuh kesyukuran

KUALA LUMPUR 27 Nov. - Umat Islam di seluruh negara hari ini menyambut Hari Raya Aidiladha dengan penuh rasa kesyukuran disertai dengan semangat pengorbanan dalam menghadapi pelbagai dugaan dan bencana.

Walaupun banjir melanda beberapa negeri sejak minggu lepas terutama di Kelantan dan Terengganu, namun sambutan Aidiladha di negeri-negeri terbabit tetap meriah.

Di TERENGGANU, seramai 1,026 mangsa banjir yang masih berada di pusat pemindahan banjir di Hulu Terengganu dan Marang menyambut kedatangan Aidiladha secara ala kadar.

Aidiladha merupakan hari kebesaran Islam di mana umat Islam di seluruh dunia memperingati pengorbanan Nabi Ibrahim a.s. dan Nabi Ismail a.s. dalam mentaati perintah Allah SWT.

Umat Islam disunatkan melakukan ibadat korban sebagai memperingati peristiwa Nabi Ibrahim a.s yang diperintah Allah SWT agar menyembelih anaknya Nabi Ismail a.s bagi membuktikan kepatuhan baginda terhadap suruhan Allah SWT dan peristiwa itu menjadi lambang pengorbanan teragung dalam sejarah manusia.

Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin berangkat menunaikan solat sunat Aidiladha bersama-sama rakyat jelata di Masjid Negara di sini. Turut berangkat dua anakanda baginda, iatu pemangku Raja Terengganu, Tengku Muhammad Ismail dan Tengku Muhammad Mu'az.

Imam Besar Masjid Negara, Tan Sri Syaikh Ismail Muhammad mengimamkan solat sunat itu sebelum menyampaikan khutbah bertajuk Mewujudkan Keturunan dan Pemimpin Pelapis yang Soleh yang antara lain menyentuh mengenai keperluan mendidik anak-anak dengan sebaik-baiknya sebagaimana pengorbanan Nabi Ibrahim as, bersama kedua-dua isterinya, Siti Sarah dan Siti Hajar.

Di SHAH ALAM, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menunaikan solat sunat Aidiladha bersama kira-kira 20,000 umat Islam di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini.

Solat sunat itu diimamkan oleh Mufti Selangor, Datuk Seri Mohd. Tamyes Abdul Wahid dan majlis korban di masjid itu akan dilakukan esok membabitkan 28 ekor lembu.

Di KOTA BHARU, Pemangku Raja Kelantan, Tengku Muhammad Faris Petra Sultan Ismail Petra menunaikan solat sunat Aidiladha di masjid negeri, Masjid Muhammadi di sini.

Selepas selesai menunaikan solat, baginda menyertai majlis ramah mesra bersama rakyat di Istana Balai Besar, di sini manakala Nik Abdul Aziz pula mengadakan rumah terbuka di Masjid Pulau Melaka.

Esok, baginda dan Istana Kelantan akan mengadakan majlis korban dan menyumbangkan 50 ekor lembu pada majlis korban Istana Diraja Kelantan di Kompleks Islam Jubli Perak Sultan Ismail Petra, Panji.

Di IPOH, Sultan Perak, Sultan Azlan Shah menunaikan solat sunat Aidiladha bersama-sama lebih 2,000 rakyat jelata di Masjid Sultan Azlan Shah, Jalan Diary yang turut disertai oleh Raja Muda Perak, Raja Dr. Nazrin Shah, Raja DiHilir Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa dan kerabat-kerabat diraja.

Di KUALA PILAH, Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz dan Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Aishah Rohani berangkat menunaikan solat sunat Aidiladha bersama 500 umat Islam di Masjid Diraja Tuanku Munawir, Seri Menanti, dekat sini.

Selesai solat, baginda berdua berkenan menyaksikan penyembelihan enam ekor lembu untuk ibadat korban di perkarangan masjid berkenaan, dan turut mengurniakan daging korban kepada kariah masjid itu.

Di JOHOR BAHARU, kira-kira 1,000 umat Islam menyertai Raja Muda Johor Tunku Ismail Ibrahim menunaikan solat sunat Aidiladha di Masjid Abu Bakar di sini.

Di PULAU PINANG, Yang Dipertua Negeri, Tun Abdul Rahman Abbas dan isteri, Toh Puan Majimor Shariff menyertai ribuan umat Islam menunaikan solat sunat Aidiladha di Masjid Negeri.

Universiti Sains Malaysia turut mengadakan majlis korban di masjid universiti itu hari ini dan esok melibatkan 27 ekor lembu sumbangan kakitangan USM dan orang ramai yang tinggal di kawasan berdekatan.

Di KUCHING, kira-kira 5,000 umat Islam menunaikan solat sunat Aidiladha di Masjid Jamek Negeri di Petra Jaya.

Di MELAKA, Yang Dipertua Negeri, Tun Mohd. Khalil Yaakob menyertai kira-kira 5,000 umat Islam menunaikan solat sunat Aidiladha di Masjid Al-Azim di Bukit Palah di sini.

Majlis korban berkelompok sebanyak 21 ekor lembu anjuran kerajaan negeri akan dijalankan esok di perkarangan masjid berkenaan.

Di KOTA KINABALU, hampir 7,000 umat Islam menunaikan solat sunat Aidiladha di Masjid Negeri, Sembulan dekat sini dan majlis penyembelihan korban pula akan diadakan di perkarangan masjid itu esok.

Yang Dipertua Negeri, Tun Ahmadshah Abdullah kini berada di Mekah untuk menunaikan haji.

Di ALOR SETAR, Sultan Kedah Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah menunaikan sembahyang sunat Aidiladha di Masjid Zahir bersama lebih 3,000 umat Islam.

Selepas menunaikan solat, rakyat daripada pelbagai lapisan masyarakat mengambil kesempatan bersalaman dengan baginda. - BERNAMA

Add to Google  
IKLAN@UTUSAN

IKLAN@UTUSAN
 



IKLAN@UTUSAN