Utusan Online
 
10 Februari 2010 / 25 Safar 1431
  English Version       Arkib Berita     
BERITA UTAMA

ARKIB : 28/11/2009
‘Jangan benar Chin Peng masuk’

‘Jangan benar Chin Peng masuk’

PULAU PINANG 27 Nov. – Meskipun peristiwa hitam itu sudah lama berlalu dan usianya sudah dimamah zaman, namun kekejaman bekas pemimpin Parti Komunis Malaya (PKM), Chin Peng, tidak akan luput dari ingatan seorang pesara tentera.

Bekas pegawai tentera Lee Hock Sun, 52, yang kehilangan kaki kirinya akibat terpijak jerangkap samar berkata, Chin Peng tidak patut dibenarkan memasuki negara ini walau atas apa jua alasan.

Beliau berkata, malah peristiwa yang terjadi sepanjang Chin Peng dan pengikutnya mengganas di Tanah Melayu, masih segar dan menghantui hidupnya sehingga kini.

“Saya sendiri cedera parah di kaki dan terpaksa dipotong kerana perbuatan komunis. Perkara ini bukan terjadi kepada saya seorang tetapi kira-kira 230 rakan yang lain.

“Kami menderita cacat anggota kerana Chin Peng. Kalau mati di medan pertempuran, saya tidak kisah.

“Tetapi bila cacat begini, kesannya amat terasa. Bila sudah bersara, hendak bekerja pun sukar kerana tiada siapa mahu mengambil kami,” katanya yang bersara sebagai Mejar di Rejimen Kesembilan, Renjer Diraja di sini semalam.

Katanya, paling sedih, ada di antara rakan-rakannya yang terpaksa bekerja dengan memungut sampah untuk mencari sumber pendapatan berikutan kecacatan dialami mereka.

Beliau yang kini bertugas sebagai Timbalan Komandan Bahagian Latihan, Kem PLKN Merbok, Sungai Petani Kedah, mengulas usaha terbaru pihak tertentu mendesak kerajaan memaafkan Chin Peng dan membawanya pulang ke Malaysia.

Hock Sun berkata, dia cedera parah dan terlantar hampir dua bulan di Hospital Kinrara, Puchong dan Hospital Pulau Pinang (HPP) kerana cedera akibat terpijak jerangkap samar pada Oktober 1979.

Menurutnya, mereka yang bersetuju untuk membenarkan Chin Peng memasuki Malaysia tidak tahu menghargai penderitaan dilalui para pejuang dan penduduk ketika itu.

“Mereka tidak patut sewenang-wenangnya mengeluarkan sebarang pendapat kerana hanya yang melalui kekejaman Chin Peng sahaja tahu.

“Yang jadi mangsanya adalah orang seperti saya, rakan-rakan saya yang lain dan juga mereka di zaman komunis,” katanya.

Beliau berkata, meskipun tidak berpeluang bertemu dengan komunis semasa berkhidmat namun kemusnahan disebabkan mereka sudah cukup menggambarkan kekejaman PKM.

Menurutnya yang berkhidmat selama 28 tahun sebagai tentera, usaha membawa pulang Chin Peng hanya akan membuatkan keluarga veteran perang semasa era darurat bangkit memberontak.

Kira-kira 2,500 orang awam dan 1,865 anggota pasukan keselamatan terbunuh di tangan PKM diketuai Chin Peng semasa era keganasan kumpulan pengganas itu antara 1948 sehingga mereka meletakkan senjata pada 1989.

Add to Google  
IKLAN@UTUSAN

IKLAN@UTUSAN
 



IKLAN@UTUSAN