|
![]() |
|
Najib Tun Razak mendengar khutbah yang disampaikan Mahammad Asrarul Haque dari New Delhi, India selepas solat sunat Hari Raya Aidiladha di hotel penginapannya di Port of Spain, semalam. Turut sama anak bongsunya, Norashman Razak (di belakang, dua, dari kanan). – BERNAMA |
PORT OF SPAIN 27 Nov. – Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini berkongsi pendekatan dan pengalaman Malaysia bersama delegasi perniagaan negara Komanwel dengan menggariskan pendekatan baru untuk kerajaan dan sektor swasta bagi pembangunan mapan demi kepentingan generasi masa depan.
Perdana Menteri yang menyampaikan ucap tama pada Majlis Perniagaan Komanwel (CBC) sempena Mesyuarat Ketua-Ketua Kerajaan Komanwel (CHOGM) berkata, kerajaan mahupun sektor swasta perlu membuat perubahan dalam operasi mereka yang tidak boleh lagi dilakukan mengikut amalan biasa.
Katanya, perubahan dalam sistem industri, model perniagaan, penguasaan ekonomi, peraturan pasaran dan rangka kerja pentadbiran adalah perlu untuk menghadapi cabaran berikutan ancaman kemusnahan alam sekitar.
“Pada masa sama, kita perlu memastikan usaha menangani perubahan iklim secara konsisten dengan memastikan perdagangan global dan pelaburan terbuka dan bebas tanpa halangan baru.
“Saya percaya komitmen terhadap perdagangan perlu dilakukan dengan cara menyeluruh untuk memastikan agenda pembangunan negara membangun dan memastikan kesan perubahan iklim dapat dikurangkan,” katanya di sini hari ini.
Forum tiga hari CBC, berakhir hari ini yang dihadiri oleh lebih 1,000 peserta kemudiannya mengeluarkan kenyataan bersama kepada CHOGM, antara lain berhubung perubahan iklim, krisis kewangan global, pembangunan ekonomi, kemahiran dan pendidikan, infrastruktur dan tadbir urus cekap.
Selain itu, Perdana Menteri berkata, sektor swasta dan perniagaan perlu mempunyai teknologi serta kebolehan melakukan inovasi di samping modal, pengurusan cekap dan semangat mereka cipta.
Bagaimanapun beliau menekankan dengan semua kelebihan itu, masih terdapat kekurangan ramuan yang kritikal iaitu kurangnya kerjasama konstruktif komuniti perniagaan dengan kerajaan dan masyarakat.
Pendekatan seterusnya, menurut Najib, sektor swasta juga harus membina komponen mapan dalam strategi perniagaan yang akan membezakan antara kumpulan yang berjaya dan gagal.
Kata Najib, beliau percaya hanya syarikat yang membangunkan produk dan perkhidmatan yang mengambil kira cabaran global seperti bekalan tenaga, perubahan iklim, tekanan terhadap ekosistem dan air dapat bertahan lama.
Berkongsi pengalaman Malaysia melaksanakan dasar teknologi hijau, Najib berkata, ia menjadi sasaran negara untuk mencapai pertumbuhan ekonomi yang mapan.
Katanya, walaupun peranan dasar awam begitu penting tetapi ia tidak cukup kuat untuk mengubah kedudukan pasaran khususnya ekonomi baru.
“Komuniti perniagaan perlu memanfaatkan dasar berkaitan dan membangunkan lebih banyak pendekatan strategik untuk meraih keuntungan daripada peluang itu (dasar hijau),” katanya.
Sebagai contoh produk, Najib berkata, syarikat perlu memanfaatkan pertambahan permintaan terhadap produk hijau dengan inovasi menjadi cukup penting untuk produk berkenaan dapat bersaing.
Jelasnya, inisiatif-inisiatif nasional itu perlu pula disokong dengan sumber tambahan dari rakan negara maju sama ada dalam bentuk kewangan, teknologi atau membina keupayaan.
“Kita juga mesti memastikan bantuan kewangan dan pemindahan teknologi turut sama menguntungkan negara membangun. Negara maju mesti digesa melaksanakan kerjasama dalam bidang penyelidikan dan pembangunan bagi memudahkan pembangunan teknologi yang mesra alam,” jelasnya.
Pada sebelah malam, Perdana Menteri menghadiri majlis makan malam Sunway Group yang terlibat dalam projek hartanah termasuk membina bangunan kerajaan di bandar ini.
Najib akan menunaikan sembahyang sunat Aidiladha bersama delegasi Islam dari negara anggota Komanwel lainnya sebelum majlis resepsi yang dihos oleh Ratu Elizabeth.
Perdana Menteri juga terlibat dalam sesi khusus CHOGM mengenai perubahan iklim yang turut disertai oleh Perdana Menteri Denmark, Lars Rasmussen, Presiden Perancis, Nicolas Sarkozy dan Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Ban Ki-moon. – Utusan
IKLAN@UTUSAN
|