Utusan Online
 
10 Februari 2010 / 25 Safar 1431
  English Version       Arkib Berita     
DALAM NEGERI

ARKIB : 28/11/2009
Tiada maaf bagimu Chin Peng

Tiada maaf bagimu Chin Peng

KUALA LUMPUR 27 Nov. - "Sekali lagi diulangi, jika Chin Peng dibenarkan balik, saya orang pertama yang akan tunggu di lapangan terbang untuk mengajarnya," tegas Mejar (B) Ahmad Shafie Abdul Manas yang putus tangan kiri akibat berkecai ditembak komunis.

Sebelum ini, beliau yang kini menjadi peguam sepenuh masa pernah membuat kenyataan berani itu untuk menjadi individu yang akan menyambut Chin Peng yang disifatkan sebagai makhluk ganas, bukan untuk meraikannya, tetapi untuk 'diajar'.

Tegas Ahmad Shafie, 59, walaupun penyangak itu meminta maaf disusuli air mata darah sekalipun, segala kejahatan, keganasan dan dosa Chin Peng terlalu besar kepada negara dan rakyat negara ini.

"Chin Peng tidak layak dan tidak berhak untuk meminta maaf dan dimaafkan. Biarlah apa sekali alasan dia meminta maaf termasuk untuk mati dan ditanam di sebelah kubur bapanya.

"Saya tetap tidak boleh menerimanya dan saya rasa pendirian ini dikongsi bersama anggota keselamatan yang tercedera dan keluarga mereka yang terkorban," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Beliau mengulas laporan eksklusif akhbar The Star baru-baru ini bahawa Chin Peng meminta maaf di atas keganasan yang pernah dilakukan oleh Parti Komunis Malaya (PKM) kepada rakyat dan pejuang negara ini sewaktu pemberontakan satu ketika dahulu.

Dalam temu ramah yang diadakan di Bangkok, Thailand bulan lepas itu, Chin Peng berkata, walaupun PKM tidak berniat membunuh 'orang tidak berdosa', namun beliau mengakui ada kalanya mereka melakukan kesilapan dalam beberapa tindakan.

Sementara itu, Ahmad Shafie secara sinis mencadangkan sekiranya Chin Peng tegar juga untuk meminta maaf, dia tidak boleh melaksanakan secara 'borong' atau terbuka.

"Kalau nak minta maaf juga kena minta daripada setiap anggota keselamatan dan keluarga yang terlibat, jika yang terkorban kena minta maaf daripada ahli keluarganya.

"Juga daripada setiap rakyat Malaysia, jika ada yang putus tangan atau buta kerana PKM, maka Chin Peng kenalah juga potong tangan dan cabut matanya sebagai balasannya," katanya.

Sementara itu, bekas Dekan Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Dr. Amat Juhari Moain sebak apabila dimaklumkan mengenai permohonan maaf Chin Peng itu.

Beliau berkata, perasaan sebak itu bukan kerana kesanggupan Chin Peng meminta maaf, tetapi mengenangkan betapa jahat dan rakusnya dia dan PKM membunuh rakyat negara ini.

"Kenapa dia nak sangat balik ke negara ini sedangkan dia bukannya warganegara, mesti dia ada agenda," katanya dengan nada keras.

Sehingga kini, beliau menyatakan masih tidak dapat melupakan keganasan dan kezaliman yang dilakukan oleh PKM terhadap bapa dan ahli keluarganya yang lain.

"Ayah dan bapa saudara saya diikat dengan tali antara satu sama lain, mereka diseksa, seluruh tubuh ditetak dan ditakik-takik sebelum leher kedua-duanya disembelih.

"Semasa ditemui, mayat kedua-duanya hanya tinggal rangka dan tulang, bercampur antara satu sama lain tanpa kepala, amat jelas kesan takik bertubi-tubi seperti sebatang pokok kayu untuk mengeluarkan getahnya.

"Seorang lagi bapa saudara dan pembantu ayah saya turut dipenggal kepala mereka, tetapi ditinggalkan berhampiran mayat ayah dan bapa saudara saya," katanya.

Add to Google  
IKLAN@UTUSAN

IKLAN@UTUSAN
 



IKLAN@UTUSAN