|
KUALA LUMPUR 26 Nov. - Mesyuarat agung luar biasa (EGM) kedua MCA yang dirancang oleh kumpulan yang tidak bersetuju dengan kepimpinan Presiden parti, Datuk Seri Ong Tee Keat dan dijadual berlangsung Sabtu ini, akhirnya dibatalkan.
Naib Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, pembatalan itu dibuat ekoran persetujuan yang dicapai oleh ketiga-tiga pihak yang bertelagah untuk diadakan pemilihan semula pucuk pimpinan parti.
"EGM kedua parti yang dijadual berlangsung Sabtu ini akan diganti dengan taklimat dan dialog bersama para perwakilan mengenai perkembangan semasa dalam parti.
"Saya yakin para perwakilan juga ingin mengetahui perkembangan semasa parti dan kami akan menerangkan kepada mereka tentang pemilihan semula parti yang bakal diadakan," katanya pada sidang akhbar di Wisma MCA di sini hari ini.
Kelmarin, Timbalan Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek menyatakan beliau dan Tiong Lai bersetuju agar diadakan semula pemilihan selepas mengadakan pertemuan dengan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Ketiga-tiga pihak yang bertelagah juga bersetuju bahawa pemilihan semula parti itu merupakan jalan terbaik untuk menyelesaikan krisis parti berkenaan.
Bagaimanapun, tarikh pemilihan semula tersebut telah mencetuskan pertikaian antara mereka.
Dalam pada itu, Tiong Lai tetap dengan pendirian agar pemilihan semula parti itu diadakan secepat mungkin iaitu selewat-lewatnya Januari tahun depan.
"Pemilihan semula parti harus diadakan secepat mungkin agar kemelut dalaman parti dapat diselesaikan dengan kadar segera sekali gus memberi fokus kepada MCA untuk berkhidmat kepada rakyat.
"Namun, saya sedia berbincang untuk menentukan tarikh yang sesuai bagi diadakan pemilihan semula itu," ujarnya.
IKLAN@UTUSAN
|