|
KUALA LUMPUR 26 Nov. - Pandangan Majlis Peguam yang menentang cadangan pembubaran perkahwinan sivil seseorang yang memeluk Islam selepas tiga bulan disahkan bergelar mualaf disifatkan sebagai tidak berasas.
Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM), Mohamad Isa Abd. Ralip berkata, dalam hal ini, seseorang yang memeluk Islam tidak boleh diberi pilihan untuk meneruskan perkahwinan sivil dengan pasangan yang bukan Islam seperti mana yang dimahukan Majlis Peguam.
Menurutnya, perkahwinan terdahulu seorang mualaf dengan pasangan yang bukan Islam adalah terbatal dengan sendirinya mengikut hukum Islam.
Katanya, sebab itu jika pandangan Majlis Peguam diterima, ia dengan sendirinya meletakkan perkahwinan mualaf yang terdahulu dalam keadaan tidak ada sebarang kesudahan.
''Jadi apa gunanya perkahwinan itu diteruskan kalau dalam keadaan tergantung? Mualaf itu tidak boleh memilih meneruskan perkahwinan yang terdahulu kerana ia bertentangan dengan hukum. Maka perkahwinan terdahulu mahu tidak mahu mesti ditamatkan,'' katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Beliau mengulas pindaan yang dicadangkan kepada Akta Memperbaharui Undang-Undang (LRA) 1976 (Perkahwinan dan Perceraian) bagi mengatasi beberapa masalah perundangan khususnya yang melibatkan pasangan memeluk Islam.
Antara yang dicadangkan Jabatan Peguam Negara ialah memberikan hak kepada mualaf memfailkan pembubaran perkahwinan sivil terdahulu dengan tarikh kuatkuasa pembubaran kepada tiga bulan selepas pihak itu memeluk Islam.
Perkara kedua melarang ibu atau bapa atau penjaga daripada mendaftarkan penukaran agama anak di bawah 18 tahun tanpa mendapat izin pasangan mereka.
Majlis Peguam yang mengalu-alukan cadangan mualaf diberi hak untuk memfailkan penceraian di mahkamah sivil bagaimanapun menentang pembubaran secara automatik perkahwinan sivil mualaf yang terdahulu.
Sementara itu, Mohd. Isa berkata, pihaknya juga pada masa sama mengakui yang mereka juga ada pandangan berbeza terhadap cadangan Jabatan Peguam Negara dalam menyelesaikan konflik perkahwinan apabila salah satu pasangan menukar agama.
Kata beliau, ia termasuklah cadangan memasukkan seksyen baru dalam LRA berhubung larangan mendaftarkan penukaran agama anak, ia dilihat bertentangan dengan undang-undang syariah sedia ada.
''Enakmen berkaitan memberikan kuasa kepada ibu atau bapa beragama Islam yang berjaya mendapat hak penjagaan anak mereka untuk mendaftarkan agama baru anak mereka.
''Ini antara perkara yang kita tidak bersetuju dan untuk itu kita akan terus berbincang dengan Jabatan Peguam Negara agar cadangan ini tidak diteruskan,'' jelasnya.
Berhubung gesaan Majlis Peguam yang mahu enakmen syariah di semua negeri menyatakan dengan jelas bahawa sebarang isu berkaitan perkahwinan sivil terdahulu seseorang mualaf hendaklah diselesaikan di mahkamah sivil, Mohd. Isa berkata, pandangan itu tidak tepat.
Katanya, undang-undang menyatakan sebaik sahaja seseorang itu bergelar Islam maka hal peribadinya termasuk soal perkahwinan adalah mengikut undang-undang Islam dan bukan lagi sivil.
''Maka atas sebab itu bidangkuasa Mahkamah Syariah adalah jelas dalam hal ini. Sepatutnya keputusan yang dibuat Mahkamah Syariah berhubung hal ini disahkan oleh mahkamah sivil sejajar dengan Artikel 121 (1A) Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan dengan jelas pemisahan bidangkuasa dua mahkamah ini,'' ujarnya.
IKLAN@UTUSAN
|