|
MUAR 26 Nov. - Rakyat diminta menjadikan sambutan Hari Raya Aidiladha esok sebagai permulaan untuk berkorban apa sahaja jika mahu melihat negara dihormati dunia.
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, umat Islam perlu mencontohi pemimpin terdahulu yang sanggup berkorban demi membangunkan negara yang diwarisi sekarang.
"Kejayaan negara kita hari ini adalah kerana ada pengorbanan jiwa dan raga seluruh peringkat rakyat jelata dan tak mengira kaum," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan 31 ekor lembu di Kompleks Seri Pekembar, Pagoh di sini hari ini.
Muhyiddin juga meminta umat Islam bersyukur dengan nikmat Allah serta bekerja keras untuk mencapai lebih banyak kemajuan dan pembangunan dalam hidup.
Mengenai penyerahan lembu korban tersebut, Muhyiddin berkata, ia adalah sumbangan ikhlas beliau dan rakan-rakannya kepada penduduk Pagoh.
"Ini adalah tradisi yang sudah lama dimulakan dan memang baik untuk diteruskan bagi memperingati semangat pada Hari Raya Aidiladha," katanya.
Muhyiddin turut mengambil kesempatan mengucapkan Selamat Hari Raya Aidiladha kepada semua Muslimin dan Muslimat sama ada di dalam negara ataupun yang sedang mengerjakan ibadah haji di tanah suci Mekah.
Terdahulu, beliau turut meluangkan masa beramah mesra dengan penduduk kaum Tionghua di pekan Pagoh sambil meninjau permasalahan mereka.
"Kita dapat mendengar apa masalah mereka dan kehendak yang dibangkitkan tentang bantuan kepada persatuan, pertubuhan, tokong, sekolah, badan sosial serta para peniaga.
"Saya maklumkan kita akan bantu dan sebahagian peruntukan telah diluluskan untuk tahun ini dan yang lain kita buat pada tahun depan," katanya.
IKLAN@UTUSAN
|