|
PORT OF SPAIN 26 Nov. – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini tiba di Trinidad dan Tobago, negara kepulauan Carribean berpenduduk 1.3 juta untuk menghadiri Mesyuarat Ketua-Ketua Kerajaan Komanwel (CHOGM 2009).
Najib yang tiba bersama isteri, Datin Seri Rosmah Mansor pada pukul 5.20 petang Rabu disambut dan Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Trinidad dan Tobago yang berpusat di Venezuela, Ramlan Kimin.
Beliau yang pertama kali menghadiri mesyuarat ketua kerajaan 53 buah negara bekas jajahan British ini selaku Perdana Menteri akan berada di sini sehingga 29 November ini.
Selain menghadiri jadual padat CHOGM, Perdana Menteri akan menunaikan sembahyang sunat Aidiladha di Hotel Hyatt bersama umat Islam dari negara Islam lain.
Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman mewakili Malaysia pada mesyuarat CHOGM peringkat menteri bermula semalam.
Sebagaimana tradisi, CHOGM 2009 akan dirasmikan oleh Ratu Elizabeth, Jumaat ini. CHOGM, yang diadakan dua tahun sekali, kali ini bertemakan Perkongsian Untuk Masa Depan Lebih Saksama dan Mapan.
Ia dianjurkan dalam suasana dunia terutama negara membangun dan miskin tertekan dengan isu tenaga, makanan, perubahan iklim dan layanan tidak adil badan dunia khususnya Tabung Kewangan Antarabangsa dan Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu .
Isu perubahan iklim umpamanya, sering menjadi tumpuan apabila beberapa negara anggota seperti Maldives dan Tuvalu menghadapi ancaman tenggelam dalam beberapa dekad lagi berikutan pemanasan global. - Utusan
IKLAN@UTUSAN
|