|
KUALA LUMPUR 26 Nov. - Hasrat pihak tertentu untuk membawa masuk Chin Peng ke negara ini hanya satu propaganda politik dan ia bukan dibuat atas dasar kemanusiaan.
Bekas Presiden Persatuan Bekas Polis Malaysia (PBPM), Datuk Mansor Mat Jaafar berkata, isu itu sudah lapuk.
''Saya menyeru kepada semua pihak agar tidak melatah dan mengendahkan perkara itu kerana ia akan terus menjadi isu yang tiada kesudahannya.
''Kita patuh dengan keputusan kerajaan yang Chin Peng tidak akan pulang atas perbuatannya terhadap rakyat sebelum ini,'' katanya kepada Utusan Malaysia ketika dihubungi, hari ini.
Chin Peng adalah bekas Setiausaha Agung Parti Komunis Malaya (PKM) yang mengganas sejak 1948 sebelum meletakkan senjata pada 1989.
Presiden Persatuan Bekas Tentera Malaysia (PBTM), Senator Datuk Muhammad Ghani pula berkata, kerajaan harus tegas dengan tidak membenarkan Chin Peng pulang ke negara ini.
Katanya, banyak pihak terlibat dengan ancaman komunis dan kemaafan tidak harus diberikan.
IKLAN@UTUSAN
|