|
SHAH ALAM 26 Nov. - UMNO dan Barisan Nasional (BN) tidak terlibat dan tidak ada kaitan dengan kandungan program yang diatur oleh Biro Tata Negara (BTN).
Sehubungan itu UMNO Selangor mengutuk tindakan kerajaan negeri yang mengharamkan kursus Biro Tata Negara (BTN) selain menuduh program berkenaan sebagai alat penyebaran sentimen perkauman dan memecahbelahkan rakyat oleh Barisan Nasional (BN).
Timbalan Pengerusinya, Datuk Noh Omar menyifatkan tuduhan kerajaan negeri pimpinan Pas, DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) adalah tidak berasas sama sekali selain menyatakan tindakan tersebut hanyalah bermotifkan politik semata-mata.
"Jika benar BN menggunakan program BTN untuk kukuhkan kuasa dan sebarkan sentimen perkauman, kenapa parti BN kalah di Selangor?
"Adakah kerajaan negeri lupa yang mereka telah menguasai negeri Selangor hari ini.
"Bagi saya, ini adalah satu tuduhan sengaja dibuat oleh PKR, DAP dan Pas Selangor yang mahu memburuk-burukkan imej BN bertujuan menutup kelemahan mereka mentadbir negeri ini.
"Malah, mereka juga turut memesongkan pemikiran rakyat dengan mencetuskan isu perkauman,"katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Semalam, kerajaan negeri menerusi Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan, Dr. Halimah Ali mengumumkan arahan mengharamkan mana-mana pelajar institusi pengajian, kakitangan awam termasuk anak-anak syarikat yang terletak di bawah pentadbiran kerajaan negeri itu mengikuti kursus BTN berkuat kuasa serta-merta.
Arahan itu dibuat kerana menuduh kursus tersebut adalah usaha BN untuk melakukan proses doktrinisasi yang kononnya memupuk sifat perkauman dan didakwa boleh memecahbelahkan rakyat di negara ini.
Tambah Noh, kursus BTN yang sekian lama diwujudkan kerajaan dan dikendalikan oleh agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri sebenarnya telah memainkan peranan penting membentuk serta mengukuhkan jati diri, semangat patriotik serta keyakinan diri di kalangan rakyat terhadap negara ini.
IKLAN@UTUSAN
|