|
KUALA LUMPUR 26 Nov. - Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr. Hassan Ali merupakan individu yang paling layak menjawab persoalan sama ada kursus Biro Tata Negara (BTN) itu relevan atau tidak kerana mereka pernah terlibat dalam menerajui kursus itu.
Profesor Politik dan Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof. Dr. Mohd. Mustapha Ishak berkata, Hassan Ali pernah menjawat sebagai Timbalan Ketua Pengarah BTN, manakala Ketua Pembangkang itu pula pernah terlibat dengan BTN ketika berada dalam kerajaan suatu ketika dahulu.
"Sehubungan itu, Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan negeri, Dr. Halimah Ali itu sepatutnya tanyalah sendiri mereka berdua, kalau mereka kata BTN perkauman bermakna mereka juga perkauman.
"Mereka dulu pun jalankan tanggungjawab yang sama iaitu membangunkan BTN, saya rasa BTN dulu dengan sekarang tiada beza, sama sahaja, suruh sahaja mereka jawab," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau mengulas langkah Kerajaan Selangor yang memutuskan untuk melarang kakitangan awam dan pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) milik negeri Selangor daripada mengikuti kursus BTN kerana mendakwa kursus itu merupakan proses doktrinisasi oleh Barisan Nasional (BN) hingga mencetuskan fenomena perkauman.
Mohd. Mustapha berkata, beliau percaya kerajaan negeri sebenarnya mahu mewujudkan program mereka sendiri sebagai proses doktrinisasi berdasarkan selera pakatan pembangkang.
"Langkah mereka itu tidak bertanggungjawab dan bersifat liar, mereka sengaja mahu memburukkan agensi kerajaan dan bermotifkan politik semata-mata," kata beliau.
Pengerusi Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Negeri Selangor, Mohd. Faizal Mohd Salleh menyifatkan tindakan kerajaan negeri itu seperti mahu menjadikan BTN sebagai 'kambing hitam' dalam menutup kelemahan mereka.
Kata beliau, pakatan pembangkang berharap dengan menimbulkan isu itu ia menagih simpati daripada masyarakat.
Sementara itu, Exco Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Sohaimi Shahadan pula berkata, Kerajaan Negeri Selangor takut kepada Kerajaan Persekutuan apabila mendapati BTN berjaya memberi kesedaran kepada kakitangan awam di Selangor.
IKLAN@UTUSAN
|