|
KUALA LUMPUR 26 Nov. - Kerajaan Negeri Selangor yang ditadbir pakatan pembangkang menyedari sebenarnya tiada sebarang proses doktrinisasi oleh Barisan Nasional (BN) dalam kursus Biro Tata Negara (BTN) seperti yang didakwa.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, sebahagian pemimpin di dalam pakatan pembangkang di negeri itu pernah berkhidmat dalam BTN dan mereka mengetahui tentang pelaksanaan kursus tersebut.
"Saya sendiri pernah menyertai banyak kursus BTN dan juga menjadi fasilitator tetapi langsung tidak nampak ada elemen perkauman atau seperti yang didakwa itu," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menghadiri majlis menandatangani kontrak pemain bola sepak Angkatan Tentera Malaysia (ATM) untuk Liga Malaysia 2010 di sini hari ini.
Ahmad Zahid mengulas tindakan Kerajaan Negeri Selangor semalam yang melarang semua kakitangan awam dan pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) milik kerajaan negeri menyertai BTN atas alasan bimbang dengan pengaruh Barisan Nasional (BN).
Menteri Pertahanan itu berkata, tindakan kerajaan negeri itu sebenarnya merupakan satu bentuk kekhuatiran pakatan pembangkang yang bimbang kerana semakin kehilangan pengaruhnya di Selangor.
Sehubungan itu, katanya, sudah tiba masa untuk rakyat Selangor sedar bahawa kerajaan negeri yang dipimpin pakatan pembangkang kini semakin lemah.
IKLAN@UTUSAN
|