|
KUALA LUMPUR 26 Nov. — Mahkamah Tinggi di sini, hari ini menetapkan 3 Disember ini bagi memberikan keputusan terhadap rayuan suri rumah Yim Pek Ha yang dijatuhi hukuman penjara 18 tahun selepas didapati bersalah terhadap tiga tuduhan dengan sengaja mencederakan pembantu rumahnya, seorang warga Indonesia pada 2004.
Pesuruhajaya Kehakiman, Azman Abdullah menetapkan tarikh itu selepas selesai mendengar hujahan Timbalan Pendakwa Raya Raja Rozela Raja Toran dan kedua-dua peguam bela Akhbardin Abdul Kader serta Jagjit Singh yang mewakili Yim.
Yim, 41, yang dibenarkan diikat jamin sebanyak RM200,000, hadir ke mahkamah ditemani suaminya, Hii Ik Ting serta beberapa ahli keluarga lain.
Pada 27 November tahun lepas, bekas pramugari itu dihukum penjara selama 18 tahun bagi tiga pertuduhan selepas Mahkamah Sesyen mendapatinya bersalah mencederakan Nirmala Bonat, 19 (ketika kejadian) menggunakan seterika dan air panas di Villa Putera, Jalan Tun Ismail, di sini, pada Januari, Mac dan April 2004.
Dalam rayuannya hari ini, peguam Akhbardin menghujahkan hakim bicara telah terkhilaf apabila memutuskan keterangan seorang saksi, Femina Anunut, dari Indonesia, sebagai tidak relevan kepada kes itu.
- BERNAMA
|
TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:
|
IKLAN@UTUSAN
|