|
KUALA LUMPUR 26 Nov.— Kerajaan Selangor berhak melarang penjawat awam dan penuntut institusi pengajian tinggi (IPT) miliknya daripada mengikuti kursus Biro Tatanegara (BTN), kata Menteri Pertahanan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Beliau berkata, kerajaan negeri itu boleh mengambil keputusan sedemikian jika merasakan kursus berkenaan adalah satu proses doktrinasi oleh Barisan Nasional hingga mencetuskan fenomena perkauman.
"Itu hak kerajaan negeri Selangor untuk tidak izinkan mereka dihantar menghadiri kursus BTN tetapi ada anggota Exco Selangor iaitu Datuk Dr Hasan Ali yang pernah menjadi Ketua Pengarah BTN, maka tidak timbul isu perkauman.
"Saya sudah banyak kali menghadiri BTN dan pernah menjadi instruktor. Saya tidak nampak pun ada elemen perkauman di sini,” katanya kepada pemberita selepas majlis Menandatangani Kontrak Pemain Bola Sepak Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Untuk Liga Malaysia 2010, di sini hari ini.
Ahmad Zahid berkata kemungkinan larangan itu dibuat kerana wujudnya kebimbangan pemimpin pembangkang terhadap sokongan rakyat negeri itu. - Bernama
IKLAN@UTUSAN
|