|
JOHOR BAHRU 25 Nov. - Barisan Nasional (BN) disaran menggunakan kaedah pungutan suara di kalangan ahli bagi memilih calon pilihan raya bagi memastikan individu yang dipilih tidak ditolak pengundi.
Ahli Parlimen Pulai, Datuk Nur Jazlan Mohamed (gambar) berkata, menerusi kaedah itu pucuk pimpinan BN akan mengetahui siapa calon yang dikehendaki masyarakat sekali gus memastikan kemenangan parti pada setiap kali pilihan raya diadakan.
"Ia adalah cara paling berkesan kerana ahli di peringkat akar umbi sebenarnya mengetahui siapa yang paling layak untuk menjadi wakil rakyat di kawasan mereka.
"Kaedah sekarang iaitu calon dipilih pucuk pimpinan tidak lagi sesuai kerana kadang-kadang ia tidak menggambarkan kehendak pengundi dan masyarakat setempat," katanya di sini hari ini.
Nur Jazlan berkata, BN seharusnya sedar kekalahan dalam beberapa siri pilihan raya kecil sebelum ini disebabkan faktor calon yang tidak diterima masyarakat setempat.
Bagaimanapun jelasnya, senario itu tidak berlaku pada Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan negeri (DUN) Bagan Pinang, Negeri Sembilan pada Oktober lalu kerana pengundi di kawasan berkenaan lebih mengenali Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad.
Menurutnya, adalah penting hak untuk memilih calon sama ada pada pilihan raya umum atau pilihan raya kecil dikembalikan kepada ahli BN di peringkat akar umbi dan pucuk pimpinan harus menerimanya.
"Mungkin boleh diadakan pilihan raya olok-olok supaya semua ahli BN di kawasan berkenaan boleh membuang undi. Walaupun ia nampak seakan-akan membuang masa, tetapi saya yakin itu yang dimahukan ahli akar umbi dan mereka (pengundi di Parlimen Pulai) sudah beberapa kali menyuarakan kepada saya.
"Tidak timbul perebutan kerusi di kalangan parti komponen kerana status quo pembahagian kerusi tetap terpelihara.
"Jika kerusi itu milik UMNO, jadi calon yang hendak dipilih ahli BN di kawasan itu harus daripada UMNO dan begitu juga sebaliknya," katanya.
Nur Jazlan berkata, beliau yakin Presiden UMNO dan Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Tun Razak menerima secara terbuka cadangan berkenaan dalam usaha memberikan nafas baru kepada parti supaya sesuai dengan tuntutan serta selera rakyat negara ini.
Jelasnya, ia terbukti apabila pindaan perlembagaan UMNO menyerahkan kuasa memilih pucuk pimpinan kepada ahli di peringkat bahagian dan kaedah sama harus turut diperluas serta digunakan dalam memilih calon pilihan raya.
"Kita mempunyai banyak masalah dalam pemilihan calon pilihan raya sebelum ini kerana banyak sangat orang melobi di sana sini sehingga menimbulkan huru-hara dalam parti.
"Malah kaedah yang digunakan UMNO Johor iaitu setiap bahagian dikehendaki menghantar sekurang-kurangnya lima nama untuk calon juga tidak berkesan kerana kadang-kadang ia ditolak pucuk pimpinan," katanya.
IKLAN@UTUSAN
|