|
KUALA LUMPUR 25 Nov. - Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) masih menunggu alasan penghakiman bertulis daripada Hakim Mahkamah Tinggi yang membuat keputusan pengosongan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Siputeh, Kedah.
Pengerusinya, Tan Sri Abdul Aziz Mohd. Yusof berkata, alasan penghakiman itu perlu diperoleh sebelum rayuan dapat dikemukakan ke Mahkamah Rayuan.
"Kita juga masih menanti tarikh perbicaraan di Mahkamah Rayuan dan kita akan bersedia untuk merayu di mahkamah yang sama sebaik sahaja kita mendapat dokumen tersebut.
"Walaupun begitu, kita bersyukur dengan keputusan Mahkamah Rayuan yang membenarkan penangguhan interim (sementara) seperti yang diumumkan semalam," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, hari ini.
Beliau diminta mengulas mengenai penangguhan interim (sementara) yang dipohon SPR terhadap pengosongan kerusi DUN itu sementara menunggu rayuan didengar pada tarikh lain.
Ekoran keputusan yang diumumkan pada 7.30 malam semalam, SPR tidak perlu mengemukakan writ Pilihan Raya Kecil DUN Kota Siputeh yang sepatutnya dikeluarkan selewat-lewatnya hari ini.
Panel tiga hakim diketuai Datuk Sulong Matjeraie membenarkan permohonan SPR setelah berpuas hati bahawa isu perlembagaan yang dihujahkan itu belum pernah dibangkitkan di mahkamah.
Keputusan sebulat suara itu turut dicapai oleh Hakim Datuk Kang Hwee Gee dan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Abdul Aziz Abd. Rahim.
Sehubungan itu, pilihan raya kecil bagi DUN Kota Siputeh tidak perlu diadakan dalam tempoh terdekat.
Terdahulu, ketika dihubungi semalam, Abdul Aziz berkata, perintah penggantungan sementara itu memberi masa yang cukup kepada penyandangnya, Datuk Abu Hassan Sarif untuk membuat rayuan.
Katanya, keputusan tersebut membolehkan Abu Hassan yang memenangi kerusi itu pada pilihan raya umum tahun lepas membuat rayuan di mahkamah mengikut saluran yang ada.
"Kita tidak mempunyai tujuan lain ketika membuat rayuan penangguhan. Apa yang dilakukan ialah supaya berlaku adil kepada semua pihak.
"Ini supaya Abu Hassan diberi peluang yang sepatutnya untuk membuat rayuan di mahkamah berhubung kekosongan kerusi DUN Kota Siputeh," jelasnya.
Ditanya mengenai langkah seterusnya, Abdul Aziz berkata, "kita akan menunggu keputusan rayuan Abu Hassan."
IKLAN@UTUSAN
|