|
ALOR SETAR 25 Nov. - Speaker Dewan Undangan Negeri Kedah, Datuk Dr. Abdul Isa Ismail menyifatkan keputusan Mahkamah Rayuan membenarkan penangguhan interim oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) terhadap pengosongan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Siputeh sementara menunggu rayuan didengar pada tarikh lain adalah satu keputusan yang rasional.
Bagaimanapun, beliau berkata, mahkamah perlu mempercepatkan proses kes tersebut bagi mengelak nasib rakyat di kawasan Kota Siputeh yang terbiar tanpa mempunyai seorang wakil rakyat sah.
"Saya tidak boleh menolak kemungkinan kes ini akan tertangguh sehingga pilihan raya umum yang akan datang.
"Namun kuasa untuk menentukan cepat atau lambat sesuatu kes diselesaikan di mahkamah bukan terletak pada tangan saya dan oleh itu saya mohon agar mahkamah mempercepatkan proses rayuan kes ini," ujarnya ketika ditemui di pejabatnya di Wisma Darulaman di sini hari ini.
Keputusan yang diumumkan pukul 7.30 malam semalam menyebabkan SPR tidak perlu mengemukakan writ Pilihan Raya Kecil DUN Kota Siputeh yang sepatutnya dikeluarkan selewat-lewatnya esok.
Panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Sulong Matjeraie membenarkan permohonan SPR setelah berpuas hati bahawa isu Perlembagaan yang dihujahkan itu belum pernah dibangkitkan di mahkamah.
SPR membuat rayuan penangguhan kes tersebut selepas Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan berlaku kekosongan kerusi DUN Kota Siputeh, seterusnya mengundang satu lagi pilihan raya kecil berikutan kegagalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan tersebut, Abu Hassan Sarif hadir pada sidang Dewan pada 19 April dan 9 Ogos lalu.
Menurut Abdul Isa, alasan Mahkamah Rayuan dalam membenarkan penangguhan interim kepada SPR adalah munasabah dan beliau menerima keputusan tersebut.
"Jika mahkamah tidak membenarkan penangguhan yang dipohon SPR dan satu pilihan raya kecil diadakan, saya bimbang keputusan rayuan nanti tidak ada ertinya.
"Ini kerana jika pilihan raya kecil diadakan dan bekas Abu Hasan menang dalam rayuannya maka akan berlaku satu penganiayaan kepada Abu Hasan," katanya.
Jelasnya, apa yang penting sekarang adalah kebenaran ditegakkan dan undang-undang didaulatkan.
"Kes ini bukan untuk membalas dendam atau ada satu cita-cita politik.
"Bagi saya, apa yang saya mahu lihat pada pengakhiran kes ini adalah kebenaran mesti ditegakkan," ujarnya.
Dalam pada itu, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak berkata, pihaknya menerima dengan hati terbuka keputusan mahkamah tersebut.
"Ini proses mahkamah dan kita tidak ada bantahan terhadap perkara ini namun ada orang lain seperti UMNO dan SPR yang tidak mahu terima.
"Kalau ada pilihan raya kita hantar calon dan kerja kita lawan bukan macam SPR yang nak jadi hakim sampai celaru dunia dibuatnya," katanya.
IKLAN@UTUSAN
|