|
KUALA LUMPUR 25 Nov. – Pemilihan semula MCA harus merangkumi semua peringkat meliputi cawangan, bahagian dan ahli Jawatankuasa Pusat (CC) termasuk sayap Pemuda dan Wanita.
Ahli CC MCA, Datuk Ti Lian Ker berkata, pemilihan semula di peringkat CC akan menyebabkan tempoh memegang jawatan tidak seragam bagi penyandang peringkat cawangan, bahagian dan sayap Pemuda serta Wanita.
Katanya, ini kerana tempoh memegang jawatan bagi semua penyandang berakhir menjelang April 2011, namun tempoh perjawatan ahli CC yang akan dipilih semula pula pada 2012 atau 2013.
“Bagi mengatasi kecelaruan tempoh perjawatan dalam parti, formula undian semula di peringkat Pusat harus diperluas ke semua peringkat parti termasuk sayap Pemuda dan Wanita.
“Atas kepentingan parti dan kejujuran mengembalikan kuasa kepada sejuta ahli MCA, kumpulan pimpinan Datuk Seri Liow Tiong Lai harus setuju cadangan pemilihan semula di semua peringkat, bukannya memilih sasaran,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Semalam, Tiong Lai menyatakan MCA tidak perlu mengadakan pemilihan semula di peringkat sayap Pemuda dan Wanita kerana mereka tidak mengalami pertelingkahan yang besar.
“Masalah CC perlu diselesaikan terlebih dahulu dan kita tidak perlu adakan pemilihan semula untuk sayap Pemuda dan Wanita,” kata Menteri Kesihatan itu.
Dalam pada itu, Lian Ker yang juga ahli majlis presiden mempertikaikan kejujuran Ketua Pemuda, Datuk Dr. Wee Ka Siong dan Ketua Wanita, Datin Paduka Chew Mei Fun yang ghairah memperjuangkan pemilihan semula di peringkat CC tetapi menolak cadangan pemilihan di peringkat sayap.
IKLAN@UTUSAN
|