|
KUALA LUMPUR 25 Nov. - Timbalan Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek tetap mahukan Mac sebagai tarikh pemilihan semula pucuk pimpinan parti berkenaan.
Menurut beliau, Presiden parti, Datuk Seri Ong Tee Keat juga mempunyai pendirian yang sama dengannya.
Katanya, Mac waktu terbaik serta memudahkan para perwakilan parti menghadiri pemilihan semula tersebut kerana tiada perayaan penting ketika itu.
"Para perwakilan Pusat kini bercuti bersama keluarga memandangkan cuti persekolahan sudah bermula, seterusnya mereka akan sibuk menguruskan persekolahan anak-anak pada Januari tahun depan.
"Tambahan pula, Tahun Baru Cina bakal tiba Februari tahun depan," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Isnin lalu, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengadakan pertemuan dengan Soi Lek dan Naib Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai bagi membincangkan penyelesaian kepada kemelut parti yang tidak berkesudahan itu.
Ekoran pertemuan itu, Muhyiddin menetapkan tempoh seminggu untuk mereka merangka satu formula bagi dipersetujui oleh semua pihak yang bertelagah dalam MCA.
Ketiga-tiga pihak yang bertelagah bersetuju bahawa pemilihan semula parti itu merupakan jalan terbaik untuk menyelesaikan krisis parti tersebut.
Bagaimanapun, tarikh pemilihan semula tersebut telah mencetuskan pertikaian antara mereka.
Dalam pada itu, Soi Lek enggan mengulas apabila ditanya sama ada sudah ada tarikh yang dipersetujui antaranya dan Tiong Lai untuk diadakan pemilihan semula parti tersebut.
"Saya tidak tahu dan tidak mahu mengulas lanjut," katanya.
IKLAN@UTUSAN
|