|
KUALA LUMPUR 25 Nov. - Sebanyak 3,513 permohonan mendapatkan kerakyatan Malaysia diluluskan kerajaan dari 9 April hingga 20 Oktober lalu.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, sebanyak 11,573 permohonan sedang dipertimbangkan kerajaan.
"Proses permohonan kewarganegaraan mengambil masa begitu panjang kerana melibatkan Perlembagaan Persekutuan.
"Ini bagi memastikan pemohon yang benar-benar layak dan memenuhi kriteria saja diberi kerakyatan," katanya dalam jawapan bertulis kepada soalan Teng Boon Soon (BN-Tebrau) pada sidang Dewan Rakyat di sini hari ini.
Hishammuddin berkata, kementerian berusaha mempercepatkan proses permohonan taraf warganegara dengan sasaran menyelesaikan 4,911 kes tahun ini yang tertunggak dari 1997 hingga 2006.
Menurutnya, sasaran lain termasuklah menyelesaikan 1,547 permohonan pada 2010; 2,878 permohonan pada 2011 dan 2,237 kes dua tahun kemudian.
Tambah beliau, bagi permohonan sejak 20 Oktober tahun ini sehingga 31 Disember 2010, kementerian bercadang menyelesaikannya pada 2013.
Jelasnya, taraf kewarganegaraan Malaysia bukan suatu hak yang boleh dituntut mana-mana individu sebaliknya merupakan anugerah tertinggi kerajaan.
"Antara kriteria ditetapkan adalah berkelakuan baik, tidak melanggar undang-undang; berpengetahuan yang memadai dalam bahasa Melayu dan menumpahkan taat setia kepada negara," katanya.
Sementara itu, Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Abu Seman Yusop menjelaskan, kerajaan masih mengkaji Akta Polis 1967 dalam memberi kelulusan untuk perhimpunan aman, selesa dan selamat seperti di stadium.
"Kerajaan sedang mengkaji Akta Polis 1967 termasuk peruntukan Seksyen 27 akta itu," jelasnya menjawab soalan Dr. Mujahid Yusof Rawa (Pas-Parit Buntar).
IKLAN@UTUSAN
|