|
KUALA LUMPUR 25 Nov. - Proton Holdings Bhd. (Proton) kini kembali menguasai 31 peratus pasaran automotif negara berbanding 20 peratus yang dikongsi dalam industri itu beberapa tahun lalu.
Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr. Awang Adek Hussin berkata, ini disokong keuntungan suku kedua Proton bagi tahun kewangan kali ini, iaitu RM168 juta bagi penjualan di dalam negara.
"Catatan ini melebihi sasaran keuntungan Proton untuk keseluruhan tahun kewangan 2008 dan 2009.
"Ini menunjukkan Proton semakin mampu bersaing dengan mendapat sambutan menggalakkan terutama model baru, Pesona dan Exora," katanya.
Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Ahmad Hamzah (BN-Jasin) pada persidangan Dewan Rakyat di sini hari ini.
Awang Adek memberitahu, bagi tahun lepas dan tahun ini, sebanyak 108,405 unit Proton pelbagai model dijual di dalam negara sementara 18,426 unit pula dieksport.
Menjawab soalan Hee Loy Sian (DAP-Petaling Jaya Selatan), beliau menjelaskan, 38,460 unit model Savvy dikeluarkan bagi tempoh 2001 sehingga 2005, dengan 28,761 terjual sehingga September lalu.
Bagi model Juara, katanya, 3,490 unit dikeluarkan dengan 3,422 terjual sehingga 2007.
Dalam perkembangan berkaitan, katanya, Proton merancang kerjasama strategik dengan beberapa syarikat luar bagi memastikannya mampu bersaing dengan pengeluar kereta lain di dunia.
"Memang ada usaha, umpamanya di China, salah satu cara pasarkan Proton di sana ialah dengan jalankan usaha sama dengan syarikat yang beroperasi di sana," ujarnya.
IKLAN@UTUSAN
|