|
KUALA LUMPUR 25 Nov. - Pembinaan pusat pameran baru Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) di Jalan Duta di sini memberi faedah jangka masa panjang kerana ia meningkatkan harga tanah di kawasan itu dan mewujudkan banyak peluang pekerjaan.
Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mustapa Mohamed berkata, projek berkenaan bukan saja melibatkan pembinaan pusat pameran malah pusat beli-belah, hotel, pejabat dan kediaman.
Beliau berkata, projek yang akan dilaksanakan Naza TTDI Sdn. Bhd. itu akan mewujudkan pusat bandar atau metropolis baru yang setaraf dengan pembangunan Menara Berkembar Petronas dan kawasan sekitarnya.
"Dakwaan pembangkang bahawa projek ini tidak menguntungkan adalah tidak berasas sama sekali kerana kerajaan telah membuat penelitian rapi sejak ia dicadangkan pada Mac 2007.
"Dakyah ini sama seperti dakwaan mereka yang menyifatkan pembinaan Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah di Subang sebagai sia-sia kerana lebih banyak nyamuk yang akan menetap di situ berbanding manusia," katanya.
Beliau menggulung perbahasan Bajet 2010 pada peringkat jawatankuasa bagi kementeriannya di Dewan Rakyat di sini hari ini.
Sebelum itu, Tony Pua (DAP-Petaling Jaya Utara) dalam sesi perbahasan menyifatkan projek tersebut membazir kerana negara sudah mempunyai banyak pusat pameran yang masih tidak digunakan sepenuhnya.
Projek berkenaan melibatkan kawasan seluas 26 hektar membabitkan kos RM15 bilion dengan tempoh pembangunan antara 10 dan 15 tahun.
Menurut Mustapa, faedah lain yang akan diperoleh daripada projek itu adalah sebagai tarikan baru pelancong sama seperti Menara Berkembar Petronas.
"Kita yakin pusat pembangunan baru ini akan menjadi ikonik atau jenama unggul yang boleh dipromosikan di seluruh dunia," ujarnya.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata, mulai tahun depan kerajaan akan melakukan pengauditan dua kali setahun terhadap semua pemegang permit import (AP).
Beliau berkata, ia bagi memastikan individu atau syarikat memenuhi syarat iaitu menyediakan ruang pameran kereta dan menjalankan perniagaan menjual kenderaan.
"Proses audit ini dimulakan tahun lalu, cuma pada tahun depan kita jalankan lebih agresif iaitu dua kali setahun," katanya.
Menurut Mustapa, pengauditan itu akan diteruskan sehingga kerajaan memansuhkan sepenuhnya pengeluaran AP pada 2015.
Dalam pada itu, beliau menjelaskan, pemansuhan AP tidak dibuat pada Disember tahun depan seperti cadangan awal kerajaan, bagi membolehkan semua pemegang permit itu membuat persediaan untuk berdikari.
"Kita harus memberi masa kepada mereka yang telah melabur berpuluh-puluh juta ringgit kerana menganggap AP akan dikeluarkan selama-lamanya. Jadi kita harus adil kepada mereka," ujarnya.
IKLAN@UTUSAN
|