|
KUALA LUMPUR 25 Nov. - Kecacatan penglihatan tidak pernah menjadi halangan18 pelatih di Pusat Latihan Gurney (PLG) untuk berputus asa dari terus mencari ilmu.
Biarpun sukar, mereka berusaha melakukannya sehingga berjaya menamatkan latihan masing-masing.
Kepuasan jelas terpancar pada wajah kesemua pelatih itu yang diraikan dalam majlis konvokesyen pusat latihan berkenaan bagi sesi Julai-November di Dewan Kompleks Persatuan Orang Buta Malaysia (MAB) di sini hari ini.
Bagi Presiden Persatuan Pelatih PLG, Khairul Azmi Mohd. Saat, 22, kemahiran mengurut yang diperolehnya di pusat latihan itu banyak membantunya untuk tidak bergantung kepada orang lain.
"Keyakinan saya untuk berdikari semakin bertambah sejak mula belajar di sini. Dari seorang yang tidak tahu langsung mengurut, saya kini sudah punya keyakinan untuk bekerja dalam bidang itu.
"Ia dibuktikan apabila kami diberi peluang menjalani latihan praktikal. Beberapa individu yang pernah saya urut juga mengakui saya sudah boleh bekerja," katanya ketika ditemui selepas majlis itu.
Majlis konvokesyen itu disempurnakan Pengarah Bahagian Orang Kurang Upaya (OKU) Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Noraini Mohd. Hashim.
Sementara itu, pelatih kursus Pembantu Tadbir Sistem Maklumat, Lam Mei Yee, 22, dipilih sebagai pelatih terbaik keseluruhan.
Beliau yang turut cekap bermain piano ternyata gembira dengan pencapaiannya itu dan menganggap kesukaran belajar dalam keadaan penglihatan yang tidak sempurna sebagai berbaloi.
"Keupayaan kedua-dua mata saya melihat mula merosot apabila terlibat dalam kemalangan sewaktu berusia 15 tahun.
"Sejak itu saya mula belajar membaca tulisan Braille. Dunia saya yang tidak seterang dulu menjadi cabaran untuk saya belajar tetapi hari ini saya berbangga dipilih menjadi pelajar cemerlang," katanya.
Kecemerlangan Mei Yee turut terbukti apabila beliau menerima tawaran kerja walaupun baru hari ini menerima sijil tamat latihan di pusat itu.
"Sebelum ini saya mengikuti latihan praktikal di sebuah syarikat penerbitan selama seminggu. Tidak sangka pula mereka berminat menawarkan saya bekerja di bahagian pemasaran," ujarnya
Seorang lagi pelatih bidang urutan, N. Annbarasi, 24, bercita-cita mahu membuka kedai mengurut sendiri satu hari nanti.
"Saya merancang untuk bekerja dengan orang lain terlebih dahulu bagi mencari pengalaman sebelum membuka kedai sendiri. Diharap saya mampu mempunyai kedai sendiri selepas setahun bekerja," katanya.
Nurlaila Muhidin, 21, yang berasal dari Ranau, Sabah pula menganggap keputusannya merantau ke ibu negara untuk mencari ilmu sebagai keputusan yang tepat.
"Saya memohon ke sini setelah diberitahu mengenainya oleh guru di sekolah menengah. Syukur dapat belajar di sini dan selepas ini saya akan menyambung latihan di sebuah pusat latihan lain di Sandakan, Sabah sebelum meneruskan cita-cita menjadi seorang guru," ujarnya.
IKLAN@UTUSAN
|