|
MELAKA 25 Nov. - Bekas anggota tentera terutama mereka yang pernah menjadi mangsa kekejaman Chin Peng akan bertindak di luar batasan jika bekas Setiausaha Agung Parti Komunis Malaya (PKM) itu dibenar menjejakkan kaki ke negara ini.
"Jangan cuba bermain api dan menjolok sarang tebuan. Jika ada pihak tertentu masih berdegil cuba mendesak kerajaan membawa masuk Chin Peng, tanggunglah akibatnya nanti," Demikian amaran Ahli Majlis Tertinggi Persatuan Bekas Tentera Malaysia (PBTM), Datuk Mohd. Nordin Mohamad.
Beliau menyuarakan rasa tidak puas bagi kira-kira 350,000 ahli persatuan itu dari seluruh negara.
Tegas Nordin, mereka tidak dapat menerima kepulangan Chin Peng kerana kekejaman dan kezaliman yang dilakukannya menyebabkan kehilangan banyak nyawa selain penderitaan ahli keluarga yang menjadi mangsa hingga sekarang.
Sehubungan itu, mereka mahu kerajaan bertegas seperti mana yang disuarakan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam, bahawa keputusan tidak membenarkan Chin Peng pulang ke tanah air adalah muktamad.
"Kami semua bekas anggota tentera menyokong penuh kenyataan Muhyiddin dan mahu kerajaan tidak berganjak daripada keputusan itu
"Sehingga kini, api kemarahan bekas anggota tentera akibat kekejaman Chin Peng yang menyebabkan kehilangan banyak nyawa dan cacat anggota tidak mudah dilupakan begitu sahaja.
"Malah, ada di antara mereka sanggup membaling kaki palsu dan ingin menyerang Setiausaha Agung PKM itu jika benar dia menjejakkan kaki ke negara ini," ujarnya ketika ditemui di sini hari ini.
Beliau mengulas usaha terbaru pihak tertentu yang mahu rakyat serta kerajaan memaafkan Chin Peng dan membawanya pulang ke Malaysia.
Mengulas lanjut, Nordin yang juga Presiden Dewan Perniagaan PBTM menasihatkan pihak-pihak tertentu agar jangan cuba bermain api kerana usaha mereka itu boleh menimbulkan kekacauan di negara ini.
"Mereka harus faham sejarah pada zaman darurat iaitu kekejaman dan kezaliman yang telah dilakukan oleh Chin Peng tidak mudah dilupakan oleh seluruh rakyat.
"Hingga kini, masih ramai bekas anggota tentera yang dizalimi oleh PKM masih hidup dan perasaan marah mereka masih bersarang di hati masing-masing," tegasnya.
IKLAN@UTUSAN
|