Utusan Online
 
10 Februari 2010 / 25 Safar 1431
  English Version       Arkib Berita     
DALAM NEGERI

ARKIB : 26/11/2009
Henti usaha bawa pulang Chin Peng

Henti usaha bawa pulang Chin Peng

KUALA LUMPUR 25 Nov. - Pergerakan Puteri UMNO mahu kerajaan memberi amaran keras kepada mana-mana pihak yang cuba menjuarai isu bekas Setiausaha Agung Parti Komunis Malaya (PKM), Chin Peng yang jelas tidak mengambil kira sensitiviti rakyat di negara ini.

Ketua pergerakan itu, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin (gambar) berkata, perbuatan itu jelas tidak menghormati keputusan kerajaan dan pada masa sama membangkitkan kemarahan mangsa-mangsa keganasan PKM.

"Cubaan serta tindakan menghidupkan semula nama Chin Peng mesti segera dihentikan. Kegagalan berbuat demikian boleh mencetuskan kemarahan penduduk negara ini terutama kaum keluarga mangsa keganasan PKM puluhan tahun lalu," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau mengulas laporan mengatakan Chin Peng terus berhasrat pulang ke Malaysia dan untuk tujuan itu pemimpin pengganas komunis itu bersedia memohon maaf atas pembunuhan dilakukan PKM ke atas orang awam yang tidak berdosa.

Ia seperti dilaporkan akhbar The Star dalam sisipannya Ahad lalu yang kemudian dipetik akhbar berbahasa Cina di muka hadapan menyiarkan pengakuan Chin Peng yang bersedia meminta maaf.

Bagaimanapun Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin ketika mengulas kenyataan Chin Peng itu menegaskan, keputusan kerajaan tidak membenarkan pemimpin PKM itu pulang ke tanah air adalah muktamad.

Mengulas lanjut, Rosnah yang juga Timbalan Menteri Kesihatan berkata, semua pihak mesti berhenti sama sekali membangkitkan isu membawa pulang bekas Chin Peng ke tanah air.

Katanya, sebarang cadangan biar sekecil mana pun berkaitan isu kepulangan bekas pemimpin PKM itu tidak boleh ditimbulkan lagi oleh mana-mana pihak.

Menurutnya, ini termasuk alasan mahu memohon maaf dan ingin dikuburkan di sisi ahli keluarganya di negara ini yang tidak boleh diterima sama sekali.

Dalam pada itu, tegas Rosnah, tindakan membangkitkan isu berkaitan PKM bermaksud mempertikaikan keputusan muktamad kerajaan untuk tidak membenarkan Chin Peng pulang ke tanah air.

"Nama Chin Peng dirakam sebagai sejarah hitam tanah air. Lebih menyedihkan kesan serta penderitaan akibat keganasan PKM masih dirasai sehingga kini," katanya.

Tambahnya, Puteri UMNO menyokong dan bersetuju dengan semua pandangan dan gesaan berhubung penolakan permohonan Chin Peng termasuk penegasan oleh Muhyiddin itu.

"Apa yang lebih penting adalah sikap rakyat Malaysia yang sepatutnya menoleh kepada sejarah silam serta kesannya kepada negara sebelum membangkitkan isu seumpama itu," katanya.

Add to Google  
IKLAN@UTUSAN

IKLAN@UTUSAN
 



IKLAN@UTUSAN