Utusan Online
 
10 Februari 2010 / 25 Safar 1431
  English Version       Arkib Berita     
DALAM NEGERI

ARKIB : 26/11/2009
Ku Li tidak sesuai sertai kaukus petroleum

Ku Li tidak sesuai sertai kaukus petroleum

KUALA LUMPUR 25 Nov. - Tan Sri Muhyiddin Yassin berharap Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah akan membuat pertimbangan terbaik dan semasak-masaknya sebelum memutuskan menyertai atau tidak kaukus petroleum.

Kata Timbalan Perdana Menteri, biasanya ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) tidak terlibat dalam kaukus kerana mereka terikat dengan beberapa prinsip.

"Tengku Razaleigh diharap pertimbangkan semasak-masaknya walaupun melibatkan negeri Kelantan kerana perkara ini ditaja parti pembangkang dan Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri yang hendak taja.

"Atas dasar biasa kita tidak fikir sesuai (untuk sertai kaukus) tetapi saya percaya Tengku Razaleigh sebagai orang lama faham tentang itu dan serah kepada beliau untuk teliti sebelum buat keputusan muktamad," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tindakan Membanteras Dadah Kebangsaan (MTMD) di Parlimen di sini hari ini.

Semalam, Anwar memberitahu bahawa Tengku Razaleigh bersetuju menyertai kaukus yang bertujuan membincangkan pembayaran royalti minyak kepada negeri-negeri pengeluar petroleum.

Tengku Razaleigh bagaimanapun menafikan beliau memutuskan menyertai kaukus itu sebaliknya memberitahu masih dalam proses mempertimbangkan tawaran berkenaan.

Mengulas lanjut Muhyiddin berkata, ahli-ahli Parlimen BN umumnya tidak perlu menyertai kaukus kerana mereka boleh mendapatkan sebarang maklumat berkaitan dengan pembangunan dan polisi melibatkan bahan bakar itu.

"Walaupun kita faham tujuannya namun kita terikat dengan beberapa prinsip, kerana di peringkat kita pun tahu apa benda yang hendak dipinda.

"Ahli Parlimen BN pula boleh dapat akses terus daripada kementerian, kerajaan dan menteri untuk dapatkan gambaran sebenar," katanya.

Mengenai kemelut dalaman MCA, beliau berkata, inisiatif mewujudkan perdamaian dalaman parti berkenaan dilakukan secara berterusan dan setiap hari.

Beliau berkata, hasil inisiatif itu juga dimaklumkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dari semasa ke semasa.

"Saya tidak akan buat update hari-hari (kepada media), biar saya dan biar pemimpin MCA ambil masa mereka, biar kita reda sikit dan tidak perlu berikan sebarang maklumat yang belum sah sepenuhnya, ia hanya wujudkan spekulasi.

"Saya hanya maklumkan apabila perkembangan capai satu peringkat sesuai, yang penting akhirnya Perdana Menteri, saya hanya jalankan tugas atas arahan beliau," katanya.

Semalam, Timbalan Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek berkata, beliau dan pemimpin lain dalam MCA termasuk Presiden, Datuk Seri Ong Tee Keat dan Naib Presiden, Datuk Seri Liow Tiong Lai mencapai persetujuan untuk mengadakan pemilihan semula parti.

Add to Google  
IKLAN@UTUSAN

IKLAN@UTUSAN
 



IKLAN@UTUSAN