|
SHAH ALAM 25 Nov. — Syarat kemasukan penuntut asing ke negara ini harus diperketatkan di mana penuntut dari sesetengah negara sahaja diberikan kelulusan visa sewaktu ketibaan (VOA) sebagai langkah memastikan hanya yang layak dibenar melanjutkan pengajian di Malaysia.
Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, pendekatan itu penting bagi memastikan usaha untuk menjadikan Malaysia sebagai hub pendidikan serantau mencapai matlamat selain mengelakkan masalah sosial di kalangan penuntut asing.
“Biasanya pelajar dari negara tertentu menggunakan VOA dengan alasan untuk meninjau universiti dan kolej yang boleh menerima mereka belajar. Kita perlu meneliti rekod pelajar dari negara tertentu ini terlebih dulu dan sepatutnya Jabatan Imigresen tidak memberi VOA kepada mereka.
“Pelajar ini perlu mendapatkan visa ketika masih berada di negara asal di samping telah menerima tawaran dari universiti atau kolej di Malaysia sebelum diterima masuk ke negara ini,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Forum Yayasan Ekonomi Islam Sedunia (WIEF) di Universiti Teknologi Mara (UiTM) di sini hari ini. - Bernama
IKLAN@UTUSAN
|