|
WASHINGTON 25 Nov. - Presiden Barack Obama hari ini berjanji untuk membuat keputusan sama ada akan menambah lebih ramai tentera ke Afghanistan atau sebaliknya tidak lama lagi sambil mengatakan hasrat untuk ‘menamatkan kerjanya’ di negara itu.
“Saya akan membuat satu pengumuman kepada rakyat Amerika tentang bagaimana kita merancang untuk maju. Saya akan lakukannya tidak lama lagi,’’ kata Obama semasa muncul bersama Perdana Menteri India, Manmohan Singh di White House.
Presiden AS itu berjanji akan memberitahu rakyat AS yang mempunyai pendapat berbeza berhubung penghantaran lebih banyak tentera ke Afghanistan, satu ‘rasional yang jelas’ bagi keputusannya dan beliau meramalkan rakyat AS akan memberikan sokongan.
“Walaupun lapan tahun telah berlalu, kami masih belum mendapat sumber atau strategi bagi melaksanakan tugas di sana, maka itu menjadi hasrat saya untuk mengakhiri tugas di Afghanistan.
“Hasrat itu merupakan satu perkara yang digariskan dalam kepentingan keselamatan AS iaitu bagi memastikan al-Qaeda dan sekutu pemberontaknya tidak boleh beroperasi dengan berkesan di kawasan tersebut. Kami akan menghapuskan dan mengurangkan kemampuan mereka serta memusnahkan jaringan mereka,’’ katanya. - AFP
IKLAN@UTUSAN
|