|
KOTA KINABALU 24 Nov. - Pemilihan semula MCA memerlukan keterbukaan dan keikhlasan pihak-pihak yang bertelagah supaya semua krisis dalaman parti itu dapat diselesaikan.
Ahli Jawatankuasa Pusat Pemuda MCA, Datuk Wee Jeck Seng yakin langkah itu adalah yang terbaik untuk menamatkan krisis yang masih berlarutan itu.
"Kemelut MCA akan selesai selepas diadakan pemilihan semula dengan syarat semua pihak menghormati keputusan perwakilan dan percaya ia cara terbaik mengatasi masalah itu," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Majlis Konvokesyen Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Kinarut Kali Ketiga di Wisma Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) di sini hari ini.
Timbalan Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek hari ini berkata, melalui pertemuannya dengan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin malam tadi, semua pihak bersetuju untuk mengadakan pemilihan semula.
Katanya, dua pihak iaitu Presiden, Datuk Seri Ong Tee Keat dan Naib Presiden, Datuk Seri Liow Tiong Lai sudah menyatakan persetujuan dengan cadangan itu.
IKLAN@UTUSAN
|