|
KUALA LUMPUR 24 Nov. - Kesilapan yang pernah berlaku dalam UMNO kira-kira 20 tahun lalu sepatutnya menjadi peringatan kepada semua pihak supaya tidak mengulangi sejarah yang sama.
Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, senario yang berlaku dalam parti politik hari ini menunjukkan masih banyak pihak tidak pernah belajar daripada apa yang telah berlaku itu.
''Kita tidak pernah suka untuk belajar daripada sejarah mahupun kesilapan lalu. Kita fikir keadaan kita berbeza tetapi sebenarnya ia sama sahaja,'' katanya dalam blog http://chedet.co.cc.
Dr. Mahathir berkata, apa yang berlaku terhadap UMNO itu juga membuktikan konsep demokrasi yang dianggap sistem terbaik dalam politik yang pernah dicipta manusia itu juga mempunyai kelemahan jika tidak diamal dengan betul.
Katanya lagi, dalam sistem demokrasi, tidak salah sekiranya parti politik membuat keputusan berdasarkan suara majoriti dan bukannya melalui persetujuan mutlak yang perlu melibatkan semua pihak dengan syarat, mereka yang kalah menerima sesiapa sahaja yang menang.
''Tetapi jika yang kalah tidak mahu menerima keputusan majoriti dan melancarkan kempen menjatuhkan parti, kesannya hanya satu iaitu perpecahan yang akhirnya akan melemahkan parti,'' katanya.
Beliau menambah, UMNO kehilangan sebahagian besar ahlinya selepas berlaku perpecahan akibat tiada kesepakatan semasa pemilihan parti ketika itu.
''Apabila pihak yang kalah tidak puas hati dan membawa kes ke mahkamah, UMNO telah diharamkan dan apabila UMNO Baru ditubuhkan, parti itu telah kehilangan sebahagian besar ahlinya.
''Bagi Liong Sik (Tun Dr. Ling Liong Sik), Presiden MCA yang mempengerusikan Barisan Nasional (BN) ketika itu, menerima UMNO Baru dan bukan Semangat 46 keadaan sudah tentu akan menjadi sukar bagi saya pada waktu itu.
''Tetapi nasib baik sokongan rakyat pada pilihan raya umum ketika itu mengembalikan kredibiliti dan kekuatan UMNO Baru. Jika tidak, parti itu sudah tentu akan terkubur begitu saja,'' katanya.
IKLAN@UTUSAN
|